SUKAN

Papan selaju: Mahathir cipta sejarah ke Sukan Olimpik Remaja

KUALA LUMPUR – Atlet papan selaju negara, Mahathir Nor Daniel, melakar sejarah apabila mengesahkan kelayakan ke Sukan Olimpik Remaja di Dakar, Senegal yang bermula 31 Oktober ini.

mahathir nor daniel
Atlet muda negara Mahathir Nor Daniel

Atlet berusia 16 tahun dari Kulai, Johor itu bakal menjadi wakil Malaysia dalam acara street skateboarding yang menawarkan pingat rasmi pada temasya berkenaan.

Mahathir berkata, persiapannya kini tertumpu kepada usaha memperkemas larian bersama jurulatih serta menyesuaikan diri dengan tekanan persaingan di pentas antarabangsa bagi meningkatkan peluang mara ke peringkat akhir dan memburu kedudukan podium.

“Penyertaan di Dakar menjadi satu lagi pencapaian penting buat saya, selain membuka peluang untuk membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama negara dalam sukan papan selaju,” memetik Awani online.

Seramai 12 atlet lelaki dan 12 atlet wanita akan bersaing dalam acara itu di kompleks tepi laut Tour de l’Oeuf, Dakar, dari 2 hingga 5 November ini.

Kejayaan itu turut didorong program pembangunan pasukan profesional The Razkals di bawah bimbingan Shahrizul Ikwan dan jurulatih kebangsaan, Mariss Khan, dengan sokongan Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MySKATE).

Prestasi Mahathir menunjukkan perkembangan positif selepas mendapat pendedahan berterusan dalam beberapa kejohanan antarabangsa sejak 2023, termasuk World Skate Tour Kejohanan Street Dunia di Tokyo serta kejohanan Piala Dunia di Rom dan Kitakyushu.

Beliau turut membawa cabaran negara dalam Sukan SEA, sekali gus mengumpul pengalaman berharga untuk bersaing dengan atlet terbaik di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, perjalanan kariernya bukan tanpa cabaran apabila kecederaan patah tangan pada 2025 menyebabkan beliau terlepas beberapa kejohanan domestik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button