Orang Asli Semelai desak SPRM siasat operasi penguatkuasaan di Tasik Bera
PUTRAJAYA – Masyarakat Orang Asli Semelai mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan salah guna kuasa, kemungkinan unsur rasuah dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Tasik Bera, Pahang.
Pengerusi Persatuan Semelai Pahang, Batin Hajemi Din berkata, desakan itu dibuat susulan pelaksanaan operasi oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan penggunaan jentera pentadbiran kerajaan di kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera.
“Operasi yang didakwa menggunakan pendekatan kekerasan sejak 14 September lalu telah mencetuskan trauma, ketakutan serta gangguan berterusan terhadap penduduk di 18 perkampungan Orang Asli di sekitar kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibupejabat SPRM hari ini.
Beliau mendakwa penggunaan aset awam dalam operasi itu menimbulkan persoalan apabila tindakan penguatkuasaan berkenaan didakwa memberi manfaat kepada syarikat swasta.
“Masyarakat Orang Asli yang mendakwa mempunyai hubungan adat, budaya dan sejarah dengan kawasan tersebut kini berdepan tuduhan menceroboh tanah nenek moyang sendiri.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan serius mengenai pengiktirafan hak adat, asas tindakan penguatkuasaan dan layanan terhadap masyarakat Orang Asli,” katanya.
Menurut Hajemi, masyarakat Semelai telah menetap di kawasan berkenaan sejak turun-temurun, dengan sejarah penempatan yang dianggarkan mencecah 600 tahun.
“Kawasan itu bukan sekadar tempat tinggal, malah merupakan tanah warisan nenek moyang, selain menjadi sumber kehidupan masyarakat berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa SPRM menyiasat sebarang petunjuk munasabah berkaitan kemungkinan salah guna kuasa, konflik kepentingan atau penyelewengan oleh mana-mana pihak yang terlibat dalam urusan tanah berkenaan.
Beliau turut menuntut supaya operasi UPNP disemak secara bebas bagi menentukan sama ada tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan mematuhi undang-undang, bidang kuasa serta SOP ditetapkan.
Dalam kenyataan sama, Persatuan Semelai Pahang mengemukakan lima tuntutan utama, termasuk penelitian telus terhadap status dan sejarah tanah adat masyarakat Semelai serta penjelasan mengenai proses kelulusan hak mengambil hasil atau tapping right kepada pihak swasta.
Mereka turut mempersoalkan pengagihan hasil kebun kelapa sawit yang didakwa dirampas dalam operasi berkenaan.
Bagaimanapun, Hajemi berkata, masyarakat Semelai tidak menolak penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya mahu setiap tindakan dilaksanakan secara adil, telus dan menghormati hak yang dilindungi undang-undang.
“Tanah nenek moyang kami bukan sekadar tanah, ini warisan, identiti dan sumber kehidupan Orang Asli Semelai,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








