BERITA SEMASA

Lima pegawai kanan ATM disiasat SPRM ditempatkan di markas pentadbiran

KUALA LUMPUR – Kesemua lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ogos lepas kerana disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup ditempatkan di markas pentadbiran masing-masing.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, mereka turut dikecualikan daripada terlibat dalam sebarang operasi sementara siasatan kes itu dijalankan oleh ATM bersama pihak berkuasa.

“Kita tegas dalam siasatan bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan sewajarnya, jika didapati bersalah, tindakan undang-undang akan diambil kerana keutamaan kita ialah integriti namun sekiranya tidak, mereka akan dipulangkan kepada (bahagian) operasi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Adly berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai langkah kawalan kerosakan yang diambil oleh Kementerian Pertahanan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat ekoran pendedahan media tentang penjualan maklumat keselamatan taktikal negara oleh lima pegawai ATM kepada pihak luar.

Adly berkata, kementerian berkenaan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan kes tersebut ditangani dengan sebaiknya selain menjalankan siasatan dalaman berhubung isu kebocoran maklumat seperti yang didakwa berlaku.

“Dari sudut pemulihan keyakinan rakyat, kementerian melalui ATM menekankan aspek kesedaran keselamatan dan pematuhan prosedur termasuk memperkukuh unit integriti di setiap formasi serta perkhidmatan selain mempergiat program didikan keselamatan, etika dan integriti bagi warga ATM,” katanya.

Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, sebahagian anggota ATM yang ditahan di sekitar Lembah Klang dalam operasi khas oleh SPRM pada Ogos kerana dipercayai membocorkan maklumat kepada sindiket penyeludupan di perairan Selat Melaka hingga Johor, merupakan anggota Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button