BERITA SEMASA

Exco Negeri Sembilan tiada kuasa gantung tugas SUK, Penasihat Undang-Undang – Peguam Negara

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara berpandangan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Jabatan Peguam Negara berkata, perkara berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas kedua-dua jawatan berkenaan masing-masing terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).

Katanya, ia sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

“Jabatan ini berpandangan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas penyandang kedua-dua jawatan tersebut,” menurut kenyataan itu hari ini.

Terdahulu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim dalam satu kenyataan berkata, tugas SUK, Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Muzalmah Mustapha Kamal digantung berkuat kuasa serta-merta.

Dalam pada itu, Jabatan Peguam Negara turut menjelaskan bahawa bagi pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu, pelantikan hendaklah mematuhi Perkara 37 UUTKNS, iaitu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button