Sudah tiba masanya Hospital MARA yang pertama ditubuhkan – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Pasukan khas bagi menggerakkan agenda penubuhan Hospital MARA sudah dimulakan sebagai usaha memperkukuh ekosistem pendidikan, kesihatan dan keusahawanan Bumiputera.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata MARA mempunyai ekosistem yang lengkap untuk merealisasikan penubuhan hospital berkenaan, termasuk rangkaian 160 cawangan U.n.i Klinik, U.n.i Farmasi dan U.n.i Dental di seluruh negara.
Katanya, MARA turut mempunyai institusi pendidikan dan latihan berkaitan kesihatan seperti UniKL Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) serta institusi TVETMARA yang melatih tenaga mahir dalam bidang teknologi perubatan dan bioperubatan.
“Sudah tiba masanya untuk MARA menubuhkan sebuah Hospital MARA yang pertama, bukan sahaja dibangunkan sebagai hospital pengajar tetapi juga sebagai pusat kecemerlangan kesihatan dan pemangkin ekonomi Bumiputera,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, terdapat lima rasional utama mengapa penubuhan Hospital MARA wajar direalisasikan ketika ini.
Pertama, katanya, MARA sudah mempunyai ekosistem pendidikan yang besar, termasuk UniKL RCMP yang menawarkan bidang perubatan dan kesihatan seperti kejururawatan, farmasi, fisioterapi serta program berkaitan.
“Latihan klinikal dan pengalaman di hospital pengajar adalah sebahagian daripada keperluan untuk melengkapkan ekosistem UniKL RCMP,” katanya.
Kedua, MARA sudah mempunyai hampir keseluruhan komponen ekosistem kesihatan, merangkumi pendidikan perubatan, TVET, teknologi, keusahawanan, pembiayaan dan pembangunan industri.
Beliau berkata kekuatan MARA bukan sekadar memiliki institusi perubatan, sebaliknya turut mempunyai kepakaran dalam bidang TVET, kejuruteraan, teknologi, keusahawanan dan jaringan industri.
“Hospital boleh menjadi tempat semua komponen ini bertemu,” katanya.
Ketiga, program Biomedical Science di UniKL MESTECH serta disiplin teknologi di kampus UniKL lain boleh disepadukan dengan ekosistem hospital berkenaan.
Katanya, Hospital MARA berpotensi menjadi ‘living laboratory’ untuk pelajar dan penyelidik MARA, termasuk dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), robotik dan peranti perubatan.
“Pelajar TVETMARA boleh terlibat dalam teknologi peralatan dan sistem hospital, pelajar UniKL RCMP menjalani latihan klinikal, manakala kampus UniKL lain membangunkan AI, IoT, robotik atau peranti perubatan.
“Pada masa sama, usahawan MARA boleh membekalkan produk serta perkhidmatan kepada ekosistem tersebut,” katanya.
Keempat, beliau berkata rangkaian 160 cawangan U.n.i Klinik, U.n.i Farmasi dan U.n.i Dental boleh menjadi komponen penting dalam pembangunan Hospital MARA kerana ia menyediakan jaringan penjagaan kesihatan barisan hadapan melalui klinik milik usahawan profesional Bumiputera di bawah program ProSPEC.
Kelima, katanya, Hospital MARA dapat menjadi kesinambungan semula jadi mandat MARA dalam membangunkan modal insan, keusahawanan dan pemilikan strategik Bumiputera.
“Setelah puluhan tahun kita melahirkan doktor, jururawat, ahli farmasi dan profesional kesihatan, sudah tiba masanya MARA bukan sahaja melahirkan tenaga profesional dalam industri kesihatan, tetapi turut membina dan memiliki institusi yang menjadi tempat mereka berkhidmat, melakukan penyelidikan dan akhirnya menerajui industri tersebut,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, penubuhan Hospital MARA bukan sekadar membangunkan sebuah fasiliti kesihatan, sebaliknya berpotensi membentuk satu ekosistem lengkap yang menghubungkan pendidikan, penyelidikan, teknologi, keusahawanan dan pembangunan industri kesihatan Bumiputera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








