Ryzal Ibrahim jelaskan isu batik, bangga hasil seni tempatan
KUALA LUMPUR – Perkongsian mengenai pakaian batik yang digayakan pempengaruh media sosial, Ryzal Ibrahim, mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial, dipercayai melibatkan netizen Indonesia.
Mengulas perkara itu, Ryzal menerusi Threads menjelaskan bahawa pakaian berkenaan ditempah khas daripada pereka fesyen Malaysia dan bukannya dibeli di Indonesia.
“Ini Batik Malaysia, tempahan khas dari designer Malaysia, bukan beli di Indonesia harap maklum,” katanya.
Bagaimanapun, Ryzal menegaskan bahawa dia tidak pernah mendakwa batik yang dipakainya itu berasal dari Malaysia, sebaliknya sekadar mahu menunjukkan penghargaan terhadap keindahan hasil seni tempatan.
Menurutnya, meskipun batik mempunyai sejarah tersendiri di Indonesia, Malaysia turut mempunyai identiti dan corak batik yang tersendiri.
“Saya tak pernah tegaskan batik ini asal atau dari Malaysia, saya hanya bangga batik buatan Malaysia pun cantik.
“Semua tahu batik asal Indonesia, tapi Malaysia juga ada corak batik tersendiri,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Ryzal turut meluahkan rasa kecewa terhadap komen segelintir pengguna media sosial yang didakwa mencetuskan pertelingkahan di ruangan komen perkongsiannya itu.
Dia juga menyindir individu yang meninggalkan komen berkenaan, meskipun mengakui kekagumannya terhadap sejarah Indonesia.
“Wahai warga Indonesia, saya kagum dengan sejarah kalian namun melihat jijiknya pemikiran dalam ruangan komen, kalian berjaya buktikan pada dunia IQ kamu sungguh rendah,” katanya.
Terdahulu, Ryzal pernah berdepan situasi hampir sama apabila perkongsian foto percutian keluarganya ke Jakarta turut mengundang perdebatan dalam kalangan netizen yang dipercayai berasal dari Indonesia.
Dia sebelum ini turut menjelaskan bahawa dirinya tidak mengetahui mengenai sebarang isu antara Malaysia dan Indonesia, termasuk perkara berkaitan bola sepak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




