Makame perkenal koleksi batik bertemakan ulam
SUBANG JAYA – Jenama batik tempatan, Makame, yang membawa pendekatan baharu dalam penggayaan batik kontemporari sedia pakai (ready to wear), dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis meriah di Butter Studio & Space, One City, USJ 25, di sini hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh pereka fesyen terkenal tanah air, Bill Keith, dan dihadiri oleh tiga pengasas bersama Makame iaitu Tengku Mahanis Tengku Maulud (50), Kasma Sahimizan Mamat (55) dan Tengku Melanie Tengku Maulud (46).

Menurut Kasma, idea penubuhan Makame bermula kira-kira tiga bulan lalu selepas mereka berbincang untuk memulakan perniagaan bersama.
“Asalnya bila Tengku Mahanis, balik ke Malaysia, kawan kami, Raymond, mencadangkan supaya kami buat perniagaan batik.
“Kebetulan saya sendiri ada latar belakang keluarga yang pernah terlibat dalam perniagaan batik.

“Tapi masa itu kami hanya buat secara kecil-kecilan. Jadi dari situ tercetus idea untuk tampilkan sesuatu yang baharu,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune hari ini.
Kasma berkata, batik sering dikaitkan dengan pakaian tradisional seperti baju kurung, kaftan atau baju tidur, justeru mereka ingin tampil dengan kelainan.
“Kami tiga beradik duduk berbincang dan akhirnya sepakat untuk wujudkan rekaan batik sedia pakai dengan tema unik.
“Untuk permulaan, kami keluarkan koleksi pertama bertemakan ulam.
“Sebanyak 12 rekaan diperkenalkan hari ini dan kesemuanya boleh dibeli secara dalam talian melalui Instagram dan TikTok,” jelasnya katanya lagi.
Kasma berkata, harga koleksi bermula daripada RM200 hingga RM300 ke atas bergantung kepada jenis rekaan dan fabrik yang digunakan.
“Kami pilih konsep ready to wear sebab ramai yang beli kain tapi tiada masa atau susah nak cari tukang jahit.
“Jadi dengan koleksi kami, pelanggan boleh terus pakai ke mana-mana, termasuk ke acara rasmi, makan malam dan sebagainya,” ujarnya lagi.
Nama Makame merupakan gabungan tiga nama pengasasnya – ‘Ma’ daripada Mahanis, ‘Ka’ daripada Kasma, dan ‘Me’ daripada Melanie.
Kasma turut berkata, siri kedua koleksi Makame sedang dirancang dan dijangka dilancarkan dalam masa tiga bulan akan datang.
“Tema untuk siri kedua akan lebih kepada elemen semula jadi seperti alam dan tumbuhan.
“Kali ini, kami mungkin buka sistem pra-tempahan (pre-order) supaya pelanggan boleh buat tempahan lebih awal,” katanya lagi.
Makame turut menyasarkan pasaran luar negara dan berhasrat membawa jenama mereka ke pentas fesyen antarabangsa.
“Kami ingin angkat batik ke peringkat global. Harapan kami, satu hari nanti Makame akan berada di pentas pertunjukan fesyen antarabangsa seperti Fashion Week,” katanya lagi.
Majlis pelancaran turut dihadiri tetamu jemputan dari kalangan penggiat fesyen, pempengaruh media sosial dan penggemar seni tekstil tempatan yang memberi sokongan terhadap usaha memartabatkan batik Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








