POLITIK

PRN Melaka: Azman Abidin mahu guna pengalaman bersama PM bantu penduduk Paya Rumput

MELAKA – Pengalaman berkhidmat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimanfaatkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin, untuk membantu memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan.

Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, hubungan rapat dengan kerajaan Persekutuan akan digunakan sebaik mungkin bagi memudahkan urusan serta membawa manfaat kepada penduduk Paya Rumput.

Beliau berkata, kedudukan Paya Rumput sebagai kawasan separa bandar yang turut merangkumi beberapa kawasan kampung memerlukan pendekatan perkhidmatan bersesuaian dengan keperluan penduduk setempat.

“Alhamdulillah, saya tahu bahawa dari segi geografi, Paya Rumput kawasannya adalah kawasan separa bandar.

“Apa yang boleh saya tawarkan adalah menggunakan pengalaman saya berkhidmat dengan Perdana Menteri untuk membantu mempermudahkan segala keperluan ataupun perkara yang perlu untuk orang Paya Rumput,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas selesai proses penamaan calon di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Baca juga : Pilihan raya bukan pembaziran, proses demokrasi perlu diteruskan – Azman Abidin

paya rumput
Azman Abidin selesai mencabut undi pada proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Stadium Hang Jebat. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Azman berkata, beliau turut berhasrat memanfaatkan kedudukan serta hubungannya dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat disampaikan kepada pengundi di DUN berkenaan.

Mengulas mengenai penerimaan penduduk setakat ini, beliau berkata, sambutan diterima adalah baik, namun pihaknya akan terus menilai perkembangan sokongan sepanjang tempoh kempen.

Katanya, latar belakang Paya Rumput sebagai kawasan separa bandar dengan sebahagian besar penduduk bekerja di kawasan bandar menjadikan mereka lebih terbuka terhadap perubahan yang ingin dibawa.

Dalam perkembangan sama, Azman berkata PH akan menjalankan kempen secara berhemah dengan mengetengahkan pencapaian serta perancangan yang ingin dilaksanakan sekiranya diberi mandat.

Beliau berkata, manifesto PH bagi negeri Melaka dijangka dilancarkan dalam tempoh satu hingga dua hari lagi.

“Saya harap rakyat Melaka boleh memberi peluang kepada calon-calon Pakatan Harapan kali ini untuk memenangi kerusi di negeri Melaka,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button