POLITIK

PRN Melaka: Mukhlis optimis bawa suara anak muda di Kuala Linggi

KUALA SUNGAI BARU – Calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Amanah Negara (AMANAH), Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah optimis mampu membawa suara serta aspirasi golongan muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Mukhlis, 23, yang juga anak jati Kuala Linggi berkata, faktor usia bukan penghalang sebaliknya menjadi kekuatan untuk beliau mendekati golongan berkenaan selain menyumbang khidmat kepada masyarakat di kawasan yang menjadi tempat kelahirannya itu.

“Saya tidak menafikan bahawa saya merupakan calon yang termuda. Semangat muda itu pasti ada dalam darah yang mengalir dalam perjuangan kita.

“Selain membawa suara anak muda, saya juga merupakan anak jati Kuala Linggi. Jadi, besar harapan dan semangat saya untuk melihat tempat saya dilahirkan dan dibesarkan ini terus dibangunkan,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon DUN berkenaan di Dewan Kompleks Japerun Kuala Linggi, di sini hari ini.

Mukhlis berkata, pengalaman membesar serta mendapat pendidikan awal di Kuala Linggi menjadi antara dorongan utama untuk beliau menawarkan diri dalam pilihan raya kali ini.

mukhlis
Mukhlis Mubin diiringi kedua ibu bapanya hadir dengan memakai persalinan baju Melayu songket lengkap bertanjak di Dewan Kompleks Japerun Kuala Linggi bagi proses penamaan calon DUN Kuala Linggi hari ini. – Foto Khadijah Mohamad Nor/Malaysia Tribune

Katanya, selepas keluar dari kawasan itu untuk melanjutkan pengajian, beliau melihat sudah tiba masanya untuk kembali menabur bakti kepada masyarakat setempat.

“Kita sendiri yang membesar di sini, mendapat pendidikan awal di sini, kemudian keluar untuk belajar. Kini, tiba masa untuk saya menabur budi dan bakti.

“Harapan saya agar diberikan kepercayaan dan peluang untuk saya berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Mukhlis yang sebelum ini diumumkan sebagai calon PH daripada AMANAH bagi kerusi Kuala Linggi, merupakan antara calon termuda yang diketengahkan PH pada PRN Melaka kali ini.

Pada PRN Melaka kali ini, Kuala Linggi menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Mukhlis, calon BERSAMA, Dr Nur Farhana Hamzah dan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Rosli Abdullah.

Mengulas cabaran berdepan kubu kuat BN, Mukhlis mengakui beliau sedar mengenai rekod politik kawasan berkenaan namun berkata keadaan itu tidak mematahkan semangatnya.

“Insya-Allah, kita tidak menafikan bahawa ini merupakan kubu kuat Barisan Nasional. Tidak pernah kalah sejak pilihan raya yang pertama.

“Ayah saya sendiri juga pernah berdepan dengan naratif yang mengatakan, ‘Ayah lima kali bertanding, tetapi kalah.’

“Namun, semangat atas kekalahan itu tidak pernah sekali pun mencalarkan ataupun menggoyahkan semangat saya. Sebaliknya, kekalahan itu membuatkan saya bangkit sekali lagi,” katanya.

Menurutnya, kritikan yang diterima juga akan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha sepanjang tempoh kempen.

“Orang nak kutuk atau apa, kutuklah. Tetapi itulah yang menjadi semangat untuk kita terus berjuang,” katanya.

Mukhlis berkata, beliau tidak akan mendedahkan strategi kempen yang akan digunakan, namun akan berusaha mendapatkan perhatian, hati dan kepercayaan pengundi di Kuala Linggi.

“Dari segi strategi, kita ada macam-macam strategi. Insya-Allah, kita tidak boleh mendedahkan strategi kita. Tetapi kita akan berusaha sebaik-baiknya untuk mendapatkan perhatian, hati dan nilai pengundi di Kuala Linggi,” katanya.

PRN Melaka akan berlangsung pada 14 November dengan pengundian awal pada 10 November.

Seramai 687,697 orang rakyat Melaka layak mengundi bagi menentukan kepimpinan kerajaan negeri yang baharu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button