POLITIK

PRN Melaka: Mukhlis tolak label ‘generasi strawberry’, pengalaman kerja jadi bekal perjuangan

KUALA LINGGI – Calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Amanah Negara (AMANAH), Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah menolak tanggapan bahawa golongan muda hari ini terlalu manja atau tidak matang hanya kerana sering dilabel sebagai ‘generasi strawberry’.

Mukhlis, 23, berkata, pengalaman bekerja ketika menuntut di universiti, termasuk pernah berdepan isu gaji tertunggak ketika bekerja sebagai barista, membentuk dirinya untuk lebih memahami cabaran yang dihadapi golongan muda.

Menurutnya, ketika melanjutkan pengajian, beliau tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa untuk mendapatkan wang perbelanjaan.

mukhlis
Mukhlis (kiri) bakal berdepan persaingan tiga penjuru daripada calon Barisan Nasional dan BERSAMA. – Foto Khadijah Mohamad Nor/Malaysia Tribune

“Sepanjang saya masuk ke universiti, ibu bapa saya langsung tidak lagi memberikan duit sumbangan atau duit belanja. Semua kita cari sendiri.

“Saya ada biasiswa, tetapi biasiswa itu cuma menampung yuran pengajian. Untuk makan dan penginapan, kita cari duit sendiri,” katanya selepas proses penamaan calon PRN Melaka di Dewan Kompleks Japerun Kuala Linggi, hari ini.

Mukhlis berkata, beliau melakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung keperluan sepanjang pengajian, termasuk kerja mengangkat barang, membuat penghantaran, menyediakan kopi dan bekerja di farmasi.

“Tidak dinafikan, pernah juga saya bekerja sebagai barista tetapi tidak dibayar gaji. Gaji itu tertangguh berbulan-bulan, sedangkan jumlahnya sekitar RM200.

“Tetapi saya anggap itu sebagai salah satu cabaran ataupun ujian untuk saya menjadi lebih baik. Akhirnya, Alhamdulillah, selepas beberapa ketika dan perkara itu menjadi tular, bos tersebut membayar semula gaji saya,” katanya.

Menurut Mukhlis, pengalaman tersebut turut memberikan perspektif mengenai kepentingan majikan menunaikan tanggungjawab membayar gaji pekerja.

Katanya, masalah kewangan yang dihadapi sesebuah syarikat tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan pembayaran gaji pekerja.

“Berkaitan dengan kewajipan syarikat membayar gaji, perkara itu sangat penting. Kalau kita sebagai syarikat berada dalam masalah kewangan sekalipun, perkara paling utama adalah memastikan gaji pekerja dibayar,” katanya.

Mengulas label ‘generasi strawberry’, Mukhlis berkata, generasi muda hari ini turut berdepan pelbagai cabaran dan tidak wajar dinilai sebagai tidak matang hanya berdasarkan usia.

“Kalau dikatakan generasi strawberry, generasi kita sekarang pun diuji dengan macam-macam cabaran. Jadi, tidak boleh menganggap generasi ini tidak matang,” katanya.

Beliau turut mengakui dirinya masih mempunyai banyak kelemahan dan ruang untuk diperbaiki sebagai seorang anak muda.

“Kalau nak kata saya tidak matang, kadang-kadang ada orang yang lebih dewasa bergaduh di kedai kopi, bergaduh di masjid, tidak mahu bersalam. Adakah itu matang?

“Saya tahu dan saya akui, saya seorang anak muda. Banyak lagi kesilapan dan kelemahan yang perlu diperbaiki. Saya akui kalau ada salah dan silap, saya mohon maaf,” katanya.

Mukhlis berkata, apa yang lebih penting baginya ialah niat untuk berkhidmat dan menabur bakti kepada masyarakat di Kuala Linggi.

“Saya ingin menabur bakti dan berkhidmat di DUN Kuala Linggi itu sendiri,” katanya.

Mukhlis merupakan calon PH daripada AMANAH bagi DUN Kuala Linggi dalam pertandingan tiga penjuru pada PRN Melaka 2026 yang akan berlangsung pada 14 November dengan pengundian awal pada 10 November.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button