Mufti Wilayah Persekutuan ahli baharu Majlis Penasihat Syariah BNM
KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil dilantik sebagai ahli baharu Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tempoh dua tahun bermula esok.
Pelantikan berkuat kuasa 1 November 2026 itu menjadikan MPS dianggotai sembilan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang syariah, kewangan Islam, perakaunan dan undang-undang.
BNM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, MPS merupakan badan berautoriti tertinggi dalam menentukan hukum syarak berkaitan perniagaan kewangan Islam di Malaysia.
Badan itu berperanan memastikan kepastian terhadap pematuhan syariah selain mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam negara.
Selain itu, MPS turut bertindak sebagai penasihat kepada BNM berhubung isu syariah berkaitan aktiviti dan transaksi kewangan Islam yang dijalankan oleh bank pusat berkenaan.
“Keputusan Syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip Syariah. Selain itu, keputusan MPS juga digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara,” menurut kenyataan itu.
MPS dipengerusikan Perunding Syariah, Datuk Dr. Ashraf Md. Hashim, manakala Profesor Kehormat Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.
Ahli lain ialah Perunding Syariah, Burhanuddin Lukman; Timbalan Presiden Penyelidikan Institut ISRA, Universiti INCEIF, Dr. Marjan Muhammad; Ketua Pengurusan Syariah Permodalan Nasional Berhad, Dr. Ahmad Basri Ibrahim; serta Pengarah Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam, Universiti INCEIF, Prof. Dr. Amir Shaharuddin.
Turut menganggotai majlis itu ialah bekas pensyarah UIAM dan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman serta bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd. Yusof.
Dalam perkembangan sama, BNM merakamkan penghargaan kepada Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir yang menamatkan perkhidmatan sebagai ahli MPS pada 31 Oktober 2026 selepas dilantik ke jawatan itu pada 1 November 2019.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








