BISNES & EKONOMI

OPR kekal tiga peratus

KUALA LUMPUR – Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada kadar tiga peratus susulan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan hari ini berkata, berdasarkan tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

“MPC terus menilai bahawa risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan adalah terhad,” kata bank pusat itu.

Menurutnya, jawatankuasa itu juga akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.

BNM berkata, ekonomi global terus berkembang didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.

Bagaimanapun, katanya, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang berlarutan dan kadar faedah yang lebih tinggi.

“Meskipun pembukaan semula China terus menyokong ekonomi global, kadar pemulihannya menjadi perlahan pada beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya.

Awal bulan ini, beberapa firma penyelidikan menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.25 peratus.

OctaFX dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah tersebut dibuat adalah untuk menyokong pasaran modal dan menstabilkan kadar tukaran dolar AS dengan ringgit Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button