BERITA SEMASA

JALB: KKDW komited pastikan pembangunan luar bandar terus beri manfaat kepada rakyat

PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menegaskan komitmennya untuk memastikan pelaksanaan projek Jalan Luar Bandar (JALB) diteruskan secara teratur, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Dalam kenyataan media hari ini, KKDW berkata pembangunan jalan luar bandar bukan sekadar pelaksanaan projek fizikal, sebaliknya kemudahan berkenaan memberi kesan langsung terhadap kehidupan seharian rakyat.

“Keutamaan KKDW kekal kepada rakyat iaitu memastikan pembangunan luar bandar dapat diteruskan, kemudahan asas dipertingkatkan dan manfaatnya sampai kepada masyarakat yang memerlukan,” menurut kenyataan itu.

KKDW berkata, pelaksanaan projek JALB dilakukan secara berperingkat dan sebahagiannya mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan.

Justeru, peruntukan yang disediakan setiap tahun perlu mengambil kira keperluan projek yang sedang berjalan selain projek baharu yang telah diluluskan.

Bagi tahun 2026, projek JALB menerima peruntukan sebanyak RM2.107 bilion, dengan 415 projek telah dilaksanakan sehingga 1 September lalu.

Menurut KKDW, sebanyak RM1.995 bilion atau 94 peratus daripada peruntukan berkenaan telah dibelanjakan setakat tempoh tersebut.

“Keadaan ini menunjukkan tahap pelaksanaan projek yang aktif di seluruh negara dan keperluan untuk memastikan projek yang sedang berjalan dapat diteruskan dengan teratur sehingga siap,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan komitmen semasa, KKDW menganggarkan keperluan peruntukan sekitar RM4 bilion setahun bagi memastikan pelaksanaan projek JALB dapat diteruskan mengikut jadual.

KKDW turut menghargai kelulusan tambahan RM300 juta oleh Kementerian Kewangan (MOF) yang disifatkan dapat membantu memenuhi keperluan semasa pelaksanaan projek JALB.

Dalam menguruskan keperluan berkenaan, KKDW berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan peruntukan yang tersedia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Keutamaan diberikan kepada kesinambungan projek yang sedang dilaksanakan supaya manfaat pembangunan dapat disampaikan kepada masyarakat seperti yang dirancang.

Menurut KKDW, kemudahan jalan yang baik penting dalam memudahkan anak-anak ke sekolah, penduduk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik serta membantu petani membawa hasil ke pasaran.

Ia turut menyokong kegiatan ekonomi peniaga dan meningkatkan akses masyarakat luar bandar kepada pelbagai perkhidmatan asas.

“Atas kepentingan tersebut, KKDW akan terus memberi perhatian kepada pelaksanaan projek JALB supaya pembangunan yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, KKDW akan terus bekerjasama erat dengan MOF, Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan bagi memastikan perancangan projek dan keperluan peruntukan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan dan mampan.

KKDW turut memberi jaminan setiap peruntukan akan terus diurus secara berhemah dan bertanggungjawab serta mematuhi tatacara kewangan kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button