PM tegas AUKU dimansuh sepenuhnya, RUU baharu dibentang tahun ini
KLANG – Kerajaan kekal dengan pendirian untuk memansuhkan sepenuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan menyasarkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan pendidikan tinggi tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mahasiswa perlu diberikan kebebasan untuk berfikir, bersuara dan mengemukakan pandangan tanpa dikongkong undang-undang khusus.
Menurutnya, mahasiswa perlu dilihat sebagai golongan dewasa yang mampu membuat pertimbangan serta bertanggungjawab terhadap pandangan yang disuarakan.
“Didiklah, tegurlah. Tak ada undang-undang? Ada undang-undang jenayah, pakai lah. Mengapa nak ditambah undang-undang untuk anak-anak mahasiswa?
“Batalkan keseluruhan AUKU. Saya masih percaya tahun ini kita akan bentang rang undang-undang baharu dan luluskannya,” katanya ketika berucap pada sesi Temu Anwar dan majlis perasmian Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa, di sini petang ini.
Anwar berkata, mahasiswa juga perlu diberi ruang untuk menyatakan ketidaksetujuan terhadap sesuatu perkara tanpa wujud budaya takut terhadap pihak universiti atau kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, kebebasan bersuara perlu disertai sikap bertanggungjawab dengan memastikan perbezaan pandangan disampaikan secara sopan dan beradab.
“Mereka juga boleh tidak bersetuju dengan sesuatu perkara namun perbezaan pandangan perlu disampaikan secara sopan dan beradab.
“Sebab itu ada ikhtilaf dalam Islam, ada pendapat, tapi ada (adab),” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








