MyBakat perkukuh pembangunan bakat negara, sedia tenaga kerja hadapi era AI
KUALA LUMPUR – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) memperkenalkan MyBakat sebagai platform menyeluruh untuk memperkukuh pembangunan bakat negara dan memastikan rakyat Malaysia bersedia menghadapi perubahan pasaran kerja yang dipacu teknologi serta kecerdasan buatan (AI).

Inisiatif itu diumumkan sempena penganjuran sulung Minggu MyBakat 2026 yang menghimpunkan kira-kira 3,000 peserta terdiri daripada bakat tempatan, majikan, industri, kerajaan, institusi pendidikan dan latihan serta rakan strategik.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan keperluan ekonomi negara bagi memastikan rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam merebut peluang pekerjaan masa depan.
“Kita boleh membawa masuk pelaburan, teknologi dan membangunkan industri baharu. Tetapi kalau kita tidak mempunyai rakyat Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan, kita ada masalah.
“Kita perlu melihat lebih awal apakah pekerjaan yang akan berkembang, apakah kemahiran yang diperlukan dan bagaimana kita menyediakan rakyat Malaysia untuk merebut peluang tersebut,” katanya selepas merasmikan Minggu MyBakat 2026 hari ini.
Menurut beliau, TalentCorp sebagai badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan memahami keperluan bakat negara, menjangka perubahan pasaran kerja dan memastikan pembangunan modal insan sentiasa selari dengan kehendak industri.
Pada majlis sama, TalentCorp turut melancarkan Platform Indeks Kesiapsiagaan Bakat Nasional (MyTRI) dan Program Inkubasi MyBakat (MyBIG) yang bertujuan mengenal pasti jurang kemahiran serta menyediakan latihan berdasarkan keperluan sebenar industri.
Mengulas isu graduan dikatakan tidak memenuhi kehendak majikan, Ramanan berkata, kebanyakan institusi latihan di bawah KESUMA menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi.
Beliau berkata, institusi di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) mencatat kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 95.5 peratus manakala tahap kepuasan majikan mencecah 97.2 peratus.
“Dalam sektor tertentu seperti teknologi memang ada jurang yang perlu dirapatkan. Sebab itu kerajaan menyediakan pelbagai program peningkatan kemahiran supaya graduan mempunyai kelebihan untuk memasuki pasaran pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya lagi.
Menurut beliau, kerajaan turut melaksanakan program Jelajah AI Mahir dengan peruntukan RM110 juta serta kerjasama bersama Ernst & Young (EY) yang menyediakan 22,000 peluang latihan berkaitan AI.
Ramanan berkata, kemunculan AI akan memberi kesan kepada hampir semua sektor termasuk teknologi, pembuatan dan pendidikan, namun pada masa sama mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang memerlukan kemahiran berbeza.
“Ramai melihat pekerjaan yang hilang akibat AI, tetapi kita juga perlu melihat pekerjaan baharu yang diwujudkan hasil perkembangan teknologi tersebut,” katanya lagi.
Beliau berkata, fokus utama KESUMA ketika ini adalah memperluaskan program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi memastikan rakyat Malaysia dapat mengisi peluang pekerjaan berkualiti yang diwujudkan hasil pelaburan baharu.
“Kita mahu pekerjaan yang diwujudkan di Malaysia diberikan kepada rakyat Malaysia terlebih dahulu. Sebab itu setiap jawatan perlu melalui MyFutureJobs sebelum majikan mengambil pekerja asing yang berkelayakan,” katanya lagi.
Minggu MyBakat 2026 yang berlangsung di Connexion Conference & Event Centre (NEXUS), Bangsar menampilkan 65 ruang pameran dan 15 aktiviti melibatkan pembangunan kemahiran, perkongsian industri, bimbingan kerjaya serta peluang jaringan bersama majikan.
TalentCorp turut berkata, program berkenaan akan diteruskan sebagai acara tahunan bagi membantu rakyat meningkatkan kemahiran, memperkukuh kebolehpasaran dan bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








