BERITA SEMASA

Majlis Perundingan Gig, Dasar Sumber Manusia jadi keutamaan KESUMA – Ramanan

PUTRAJAYA – Penubuhan Tribunal Gig dan reformasi undang-undang buruh dikenal pasti sebagai antara keutamaan utama dalam usaha memperkasa ekosistem pekerjaan negara dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Menteri Sumber Manusia yang baharu, Datuk Seri R. Ramanan Ramakrishnan.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan meneruskan agenda reformasi menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada beberapa perancangan strategik utama bagi memastikan sistem pekerjaan negara lebih adil, berdaya tahan dan mampan.

Menurutnya, antara fokus utama ialah reformasi undang-undang buruh secara berterusan serta penggubalan Dasar Sumber Manusia Negara 2026–2035 yang akan berperanan sebagai dokumen induk hala tuju jangka panjang tenaga kerja negara.

“Selain itu, KESUMA akan menubuhkan Majlis Perundingan Gig dan Tribunal Gig sebagai mekanisme tadbir urus serta penyelesaian pertikaian yang lebih adil dan berkesan, khususnya melibatkan pekerja gig,” katanya.

Terdahulu, Ramanan Ramakrishnan, hari ini secara rasmi melapor diri selepas mengangkat sumpah jawatan pada 17 Disember lalu bagi menggantikan menteri terdahulu, iaitu Steven Sim.

Beliau memulakan tugas dengan mempengerusikan mesyuarat khas yang dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi menerima taklimat menyeluruh mengenai peranan, struktur serta keutamaan KESUMA.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, usaha memperkukuh pematuhan standard buruh antarabangsa turut diteruskan menerusi Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Buruh Paksa 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Tambahnya, kementerian juga akan memperkenalkan mekanisme levi berperingkat bagi memastikan pembiayaan latihan yang lebih adil dan mampan, selari dengan keperluan pembangunan tenaga kerja masa depan.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyusunan semula fungsi penguatkuasaan melibatkan jabatan-jabatan berkaitan akan dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Antara inisiatif lain termasuk penubuhan Akademi KESUMA sebagai pusat pembangunan kapasiti warga kementerian, pemerkasaan perlindungan sosial melalui peluasan liputan PERKESO kepada pekerja tidak formal dan bekerja sendiri, serta penubuhan Mobile Labour Court,” katanya.

Menurut beliau, Mobile Labour Court bertujuan memperluas akses keadilan perburuhan, khususnya di kawasan luar bandar dan sektor berisiko tinggi.

Ramanan menegaskan, kementerian kekal komited memastikan kebajikan pekerja sentiasa menjadi keutamaan merangkumi aspek perlindungan, keselamatan, peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran.

“KESUMA akan terus berfungsi untuk semua pekerja Malaysia tanpa mengira kaum, latar belakang atau sektor pekerjaan, berteraskan prinsip keadilan, inklusiviti dan pelaksanaan yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata, dengan kerjasama semua pihak, kementerian akan terus memperkukuh sistem pekerjaan negara agar lebih berdaya tahan, mampan dan berpaksikan kebajikan pekerja.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button