BERITA SEMASA

KESUMA gerak intervensi bantu 541 pekerja Panasonic terjejas

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menggerakkan intervensi bersepadu bagi membantu 541 pekerja Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn. Bhd. yang terjejas susulan penutupan operasi syarikat itu.

Menurut KESUMA, menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kementerian akan memastikan hak pekerja terbabit dilindungi, selain membantu mereka mendapatkan sokongan pendapatan dan peluang pekerjaan baharu sepanjang tempoh peralihan.

KESUMA berkata, seramai 541 pekerja terbabit terdiri daripada 415 pekerja tempatan dan 126 pekerja asing, dengan pemberhentian dilaksanakan secara dua peringkat pada 31 Oktober 2026 dan 31 Mac 2027.

“KESUMA menerusi PERKESO akan menggerakkan intervensi awal melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dengan mendapatkan maklumat pekerja bagi tujuan pemprofilan, penilaian keperluan dan pelaksanaan intervensi bersasar.

“Sebagai tindakan susulan, PERKESO bersama JTKSM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Panasonic pada 11 Ogos 2026 bagi menyelaras tindakan berkaitan perlindungan pekerja, kelayakan faedah dan intervensi penempatan pekerjaan.

“Antara bantuan yang akan disediakan termasuk khidmat nasihat dan bantuan permohonan faedah SIP kepada pekerja yang memenuhi syarat kelayakan sebagai sokongan pendapatan sementara sepanjang tempoh peralihan pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : Pasaran buruh kekal stabil, KESUMA aktif bantu pekerja kembali bekerja

Selain itu, KESUMA memaklumkan pekerja terjejas juga akan diberikan kaunseling kerjaya dan pemadanan pekerjaan menerusi MYFutureJobs, selain sesi temu duga dan program penempatan secara bersasar bersama majikan yang mempunyai kekosongan bersesuaian.

“Bagi pekerja yang memerlukan penyesuaian kemahiran, intervensi latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) akan dikenal pasti berdasarkan keperluan dan kesesuaian pekerja,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, KESUMA akan memastikan kebajikan serta kelangsungan kerjaya pekerja yang terjejas diberikan perhatian sewajarnya.

“KESUMA akan memastikan pekerja yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan diberikan sokongan sewajarnya dan tidak dibiarkan berdepan tempoh peralihan ini tanpa bantuan.

“Melalui PERKESO, intervensi akan digerakkan seawal mungkin bagi membantu mereka mendapatkan perlindungan pendapatan serta kembali ke pasaran pekerjaan,” katanya.

Terdahulu, JTKSM melalui Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Subang Jaya menerima Borang Pemberitahuan Pemberhentian Pekerja (Borang PK) daripada syarikat pada 23 dan 27 Julai 2026 sebelum menjalankan siasatan pada 27 Julai 2026.

Pada masa sama, pihak syarikat memberikan komitmen untuk menyelesaikan bayaran yang layak diterima pekerja termasuk gaji, gaji ganti notis, bayaran ganti cuti tahunan dan faedah penamatan kerja dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM64.38 juta.

JTKSM akan terus memantau pelaksanaan pemberhentian dan pembayaran faedah bagi memastikan hak pekerja dipelihara mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

“Sekiranya pihak syarikat gagal memenuhi kewajipannya, tindakan penguatkuasaan sewajarnya termasuk tuntutan kes buruh dan pendakwaan boleh diambil,” katanya.

KESUMA juga bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan bantuan kepada pekerja terjejas dapat dilaksanakan secara terkoordinasi.

“Pendekatan “daripada kehilangan pekerjaan kepada pekerjaan baharu” ini mencerminkan usaha berterusan KESUMA dalam memperkukuh daya tahan pasaran buruh negara serta memastikan pekerja terus dilindungi dan kekal produktif dalam menghadapi perubahan struktur industri,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button