Tiga anggota pengurusan tertinggi HRD Corp digantung tugas
KUALA LUMPUR – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menggantung tugas tiga anggota pengurusan tertingginya susulan penemuan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tanpa memperincikan identiti tiga anggota yang dikenakan tindakan, HRD Corp memaklumkan tindakan itu diambil berdasarkan penemuan dan syor berkaitan pengurusan levi tidak digunakan, pemerolehan Menara Ikhlas serta pengurusan pelaburan ekuiti syarikat berkenaan.
“Ia turut melibatkan penemuan terkini berhubung Sistem Teras Baharu (New Core System – NCS) bernilai RM14 juta yang tertangguh lebih empat tahun selepas gagal melepasi Ujian Penerimaan Pengguna (UAT) sebanyak tiga kali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz berkata, langkah pemulihan dan pengukuhan tadbir urus tersebut selaras dengan aspirasi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan yang menekankan keperluan standard integriti, ketelusan dan akauntabiliti lebih tinggi dalam institusi berkaitan tenaga kerja.
“Langkah ini bertujuan memastikan pengurusan HRD Corp memberikan impak positif kepada majikan serta tenaga kerja negara, sejajar dengan semangat MADANI Bekerja,” katanya.
Beliau menegaskan, HRD Corp akan melaksanakan siasatan dalaman yang telus dan berintegriti dengan mandat, skop serta terma rujukan yang jelas.
“Siasatan ini meliputi semakan dokumen, rekod kewangan, kelulusan, minit mesyuarat serta jejak audit berkaitan, selain pengambilan keterangan dan pengesahan fakta daripada pegawai terlibat, tertakluk kepada prinsip keadilan asasi serta keperluan kerahsiaan siasatan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau memaklumkan, dalam minggu pertama pelantikan Ketua Eksekutif baharu, HRD Corp berjaya memperoleh penyelesaian kira-kira 18 peratus daripada portfolio pelaburan berstruktur yang tertunggak dengan pulangan berjumlah RM151.8 juta.
“Pencapaian itu membuktikan usaha pemulihan yang pantas, sekali gus memastikan pelaburan dibuat oleh HRD Corp lebih terjamin dan dilindungi,” katanya.
Bagi memperkukuh tadbir urus serta pemantauan, pelaksanaan program latihan yang diluluskan hanya boleh dijalankan selepas tempoh minimum antara 21 hari hingga tiga bulan dari tarikh kelulusan.
Tempoh tersebut memberi ruang mencukupi kepada majikan dan penyedia latihan untuk membuat perancangan rapi termasuk tempahan lokasi, pendaftaran peserta serta penyelarasan logistik.
Ketiadaan pemantauan sistematik terhadap program latihan yang diluluskan pada masa ini dikenal pasti menjadi punca terhadap kelemahan kawalan dan pengawasan tadbir urus.
Selain itu, terdapat juga kes latihan dilaksanakan sebelum kelulusan diperoleh, dengan permohonan geran hanya dikemukakan selepas latihan selesai.
Susulan itu, HRD Corp akan memperkukuh rangka kerja pemantauan dan penguatkuasaan secara berperingkat dengan menempatkan pegawai di lapangan bagi menyelia pelaksanaan latihan.
“HRD Corp yakin penambahbaikan ini akan memperkukuh pematuhan, akauntabiliti serta tadbir urus yang lebih baik selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya teras Kesejahteraan, Keadilan Sosial, Keberdayaan dan Ihsan demi memastikan manfaat pembangunan negara dapat dirasai seluruh lapisan masyarakat dan industri,” menurut kenyataan itu
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








