RUU Pekerja Gig bukti komitmen kerajaan perjuangkan kebajikan, perlindungan sosial pekerja gig
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang diluluskan oleh Dewan Negara semalam melakar sejarah baharu dalam melindungi hampir 1.2 juta pekerja gig di Malaysia.
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), RUU itu meletakkan noktah kepada era tiada perlindungan undang-undang terhadap golongan pekerja ini.
“Sebelum ini, golongan pekerja gig sebagai salah satu teras penting ekonomi negara, tidak dapat mempertahankan hak dan kedudukan mereka disebabkan tiada perlindungan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tidak diiktiraf dalam manamana akta perburuhan yang berkuat kuasa.
“RUU ini merupakan hasil mandat yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada KESUMA pada Mac 2024 bagi merangka mekanisme khas untuk membela hak dan kepentingan pekerja gig di Malaysia.
“Sejak itu, hampir 40 sesi libat urus melibatkan lebih 4,000 pemegang taruh dari seluruh negara telah dilaksanakan dengan lebih 500 maklum balas atas talian telah diterima.
“Libat urus ini turut melibatkan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, syarikat platform, persatuan pekerja gig, kesatuan sekerja, akademik dan pertubuhan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, proses penggubalan turut diperkukuh dengan penanda aras antarabangsa dan pembentangan di Pertubuhan Buruh Antarbangsa di Geneva, yang mengesahkan kesesuaiannya dengan piawaian global.
Jelasnya, RUU Pekerja Gig 2025 merangkumi 112 fasal dalam 10 bahagian dan menekankan empat aspek utama iaitu memuktamadkan definisi pekerja gig yang sebelum ini tidak dilindungi dalam mana-mana akta buruh, sambil mengekalkan status fleksibel sebagai freelancer atau bekerja sendiri.
Kedua katanya, mewujudkan Majlis Perundingan yang menghimpunkan wakil kerajaan, wakil pekerja gig serta wakil entiti kontrak untuk membincangkan isu kadar bayaran, kontrak standard dan isu-isu lain.
“Ketiga, menubuhkan Tribunal Pekerja Gig yang menyediakan saluran penyelesaian pertikaian yang mudah, cepat dan kos efektif dan keempat memperkukuh perlindungan keselamatan sosial melalui caruman PERKESO,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, RUU itu telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 28 Ogos lalu dan diiktiraf sebagai satu proses yang telus dan inklusif, hasil penyertaan ribuan pihak berkepentingan malah dinilai oleh pakar pelbagai sektor, termasuk akademik, perundangan, ekonomi dan wakil organisasi pekerja sebagai berpotensi menjadi penanda aras global dalam perundangan ekonomi gig.
Melalui kelulusan rasmi di Dewan Negara ini, katanya RUU Pekerja Gig 2025 kini sebuah realiti yang membuktikan komitmen kerajaan dalam memperjuangkan kebajikan dan perlindungan sosial pekerja gig di negara ini.
“Malaysia kini muncul sebagai negara rujukan (benchmarking) kepada rantau ASEAN dan dunia dalam melaksanakan undang-undang progresif bagi sektor ekonomi gig.
“Pekerja gig akhirnya akan menikmati perlindungan yang sewajarnya sejajar dengan sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi gig negara.
“Fokus KESUMA selepas ini adalah untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi tujuan pewartaan dan penguatkuasaan akta tersebut,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







