PRN Melaka: Wan Azizah gesa jentera PH perkukuh kempen, pastikan pengundi keluar mengundi
PAYA RUMPUT – Pengalaman tewas di kawasan yang sebelum ini dianggap kubu kuat perlu dijadikan peringatan kepada jentera Pakatan Harapan (PH) supaya tidak terlalu selesa menghadapi persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, setiap kerusi perlu diberi perhatian serius tanpa menganggap mana-mana kawasan sebagai mudah untuk dimenangi.
Beliau berkata, pengalaman kekalahan yang tidak dijangka di Negeri Sembilan perlu dijadikan iktibar supaya jentera parti terus bekerja keras mendapatkan sokongan pengundi.
“Pilihan raya negeri berbeza dan kita tidak boleh mengambil mudah. Mereka yang pernah melalui Pilihan Raya Umum (PRU) tahu bahawa pilihan raya negeri mempunyai cabaran tersendiri.
“Belajarlah daripada pengalaman di Negeri Sembilan. Kawasan itu kubu kita, tetapi akhirnya kita boleh kalah. Jadi, jangan ambil mudah atau menganggap sesuatu kerusi itu senang untuk dimenangi,” katanya.
Baca juga : Azman mahu perkasa kemahiran belia India, tangani penghijrahan anak muda
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama jentera pilihan raya dan calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, di sini.
Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, usaha mendekati pengundi di peringkat akar umbi perlu dipergiat menerusi pertemuan secara bersemuka sepanjang tempoh kempen.
Katanya, setiap peluang untuk bertemu pengundi perlu dimanfaatkan kerana hubungan secara peribadi mampu membantu mendapatkan sokongan mereka.
“Setiap pengundi itu penting. Kita perlu berjumpa mereka dan sekiranya tidak dapat bertemu sekali pun, jangan berputus asa.
“Setiap jabat tangan membawa makna. Berusahalah sedaya upaya untuk mendapatkan sokongan mereka.
“Perkara paling penting ialah memastikan mereka keluar mengundi kerana itulah yang akan menentukan kemenangan kali ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memilih wakil rakyat berpengalaman yang mampu memberikan perkhidmatan serta menyelesaikan permasalahan masyarakat setempat.
Menurutnya, keutamaan seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah menangani isu di kawasan masing-masing, berbeza dengan tanggungjawab seorang Ahli Parlimen.
“Apa yang kita perlukan ialah wakil rakyat yang mampu bekerja untuk menyelesaikan isu tempatan di Paya Rumput dan Melaka,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














