POLITIK

Ajue tekad bawa pembangunan baharu, buka peluang pekerjaan kepada anak muda Taboh Naning

ALOR GAJAH – Keperluan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda menerusi pembangunan kawasan menjadi antara agenda yang dibawa calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Junainah Sahat.

Junainah, 41, yang lebih mesra disapa Ajue Sahat daripada AMANAH berkata, pembangunan kawasan itu penting bagi membuka peluang ekonomi kepada penduduk, sekali gus mengurangkan keperluan anak muda berhijrah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan.

Menurutnya, ramai anak muda dari kawasan berkenaan terpaksa keluar mencari peluang pekerjaan di luar termasuk Kuala Lumpur dan Johor.

“Saya mahukan kemajuan untuk kawasan ini bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan disediakan kepada golongan muda dan belia.

“Di kawasan ini ramai anak muda keluar ke tempat lain seperti Kuala Lumpur dan Johor. Jadi, sekiranya kawasan ini lebih membangun, ia sekali gus dapat meningkatkan peluang pekerjaan serta ekonomi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Baca juga : PRN Melaka: Isu air, jalan raya dan kebajikan jadi tumpuan Jegan di DUN Gadek

Mengulas pendekatan kempen pada hari kesembilan, Ajue berkata, beliau meneruskan strategi mendekati pengundi secara bersemuka menerusi kunjungan dari rumah ke rumah dan premis perniagaan.

Katanya, sempena sambutan Deepavali, beliau turut mengunjungi kuil untuk bertemu masyarakat India sebelum meneruskan ziarah ke kediaman penduduk di Taman Jati India.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan akan diteruskan sehingga hari terakhir kempen selain mengadakan ceramah kelompok di kawasan yang mempunyai rangkaian kenalan dan penduduk setempat.

Dalam pada itu, Ajue berkata, antara isu yang dibangkitkan penduduk sepanjang kempen termasuk masalah banjir, sistem perparitan serta kemudahan internet dan komunikasi yang masih memerlukan penambahbaikan.

Katanya, beliau tidak mahu menyalahkan kepemimpinan sedia ada berhubung isu berkenaan, sebaliknya mahu memastikan setiap permasalahan disalurkan menerusi saluran sewajarnya.

“Kita tidak mahu mencari salah pemimpin sedia ada. Ada isu kritikal dan kita perlu mencari saluran yang betul supaya perkara itu tidak memberi kesan buruk kepada semua pihak,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button