POLITIK

Jangan risau, Malaysia akan terus dijaga – kata Aiman Athirah kepada Nooryana x

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Aiman Athirah Sabu menegaskan Malaysia akan terus dijaga dengan mengutamakan kepentingan rakyat, kestabilan negara dan pengukuhan institusi.

Dalam kenyataan ditujukan kepada Nooryana Najwa Najib, beliau berkata gesaan supaya Parlimen dibubarkan dan mandat baharu diberikan kepada rakyat perlu dilihat dalam konteks kepentingan negara yang lebih luas.

Aiman Athirah berkata, beliau menghormati hak Nooryana untuk bersuara dalam mempertahankan pendirian Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara berkenaan namun, mempersoalkan sama ada kecintaan kepada negara seharusnya diterjemahkan dengan mendahulukan kepentingan rakyat dan kestabilan negara berbanding pertarungan kuasa serta pilihan raya.

“Malaysia kini berdepan cabaran lebih besar termasuk ketidaktentuan geopolitik, tekanan ekonomi global dan peningkatan persaingan kuasa besar, selain isu kos kehidupan serta keselamatan ekonomi rakyat.

“Dalam keadaan seperti ini, apakah yang paling kita perlukan? Politik kuasa atau politik membangunkan negara?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau turut merujuk kepada proses kehakiman yang dilalui ayah kepada Nooryana, Datuk Seri Najib Razak, dengan menegaskan bahawa undang-undang serta institusi negara perlu dihormati.

Aiman Athirah berkata, tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha memperkukuh tatakelola, reformasi institusi, ekonomi, pendidikan, kesihatan, perumahan dan keselamatan sosial.

Beliau turut menegaskan kepentingan memastikan setiap ringgit wang rakyat diurus secara amanah serta membina institusi yang kukuh supaya tiada pihak berada di atas undang-undang.

“PRU16 akan tiba juga. Takkan lari gunung dikejar. Hormatilah tempoh penggal yang diberikan oleh rakyat,” katanya.

Menurutnya, sekiranya kerajaan masih mempunyai mandat dan mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat, kerajaan wajar meneruskan tanggungjawab sehingga tiba masanya rakyat menentukan pilihan.

Aiman Athirah berkata, pilihan raya tidak seharusnya dipanggil setiap kali terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan kedudukan politik semasa.

Beliau pada masa sama menegaskan Malaysia tidak bergantung kepada satu keluarga, parti atau kelompok elit, sebaliknya menjadi milik seluruh rakyat.

“Malaysia ini milik rakyat. Kita akan terus menjaga negara ini dengan sebaik-baiknya. Kita akan terus membaiki apa yang rosak, memperkukuh institusi dan membanteras rasuah,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya generasi muda diwariskan sebuah Malaysia yang lebih bersih, adil, berintegriti, mempunyai institusi yang kukuh serta demokrasi yang matang.

“Dan apabila tiba waktunya PRU16, rakyatlah yang akan menentukan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button