
Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua beri kelegaan kepada penduduk berulang alik ke Georgetown dan Perai
GEORGE TOWN – Pemuda AMANAH Kepala Batas menyambut baik usaha Kerajaan Pulau Pinang mempercepatkan Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (PTJSD) yang dapat mengatasi kesesakan teruk di laluan terlibat.
Ketua Pemuda AMANAH Kepala Batas, Abrar Sadiq berkata, projek itu bakal memberi kelegaan kepada majoriti penduduk Kepala Batas yang berulang-alik ke Georgetown dan Perai setiap hari.
“Sama ada menaiki motosikal, kereta, van atau bas kilang, rakyat telah lama berdepan kesesakan teruk di laluan ini.
“Justeru, tindakan kerajaan negeri membuktikan fokus mereka kekal kepada penyelesaian masalah rakyat, bukan permainan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau turut melahirkan keyakinan terhadap kerajaan negeri yang terus utuh meskipun pelbagai krisis politik berlaku di luar.
“Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang terus stabil, harmoni dan bekerja untuk rakyat. Projek pembangunan berjalan, ekonomi berkembang dan agenda pendidikan Islam terus diperkasa melalui Agenda Pendidikan Agama Islam 2030.
“Sebaliknya, Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang semakin dilihat berpecah sesama sendiri. Percanggahan antara parti-parti komponen mereka serta kemunculan parti baharu menunjukkan impian menawan semua kerusi Melayu semakin sukar direalisasikan,” katanya.
Projek PTJSD merupakan sebahagian daripada inisiatif penyuraian trafik strategik di kawasan Utara-Selatan.
Ia dijangka memberi impak besar dalam memisahkan aliran trafik lebuh raya utama dengan trafik tempatan, sekali gus melancarkan pergerakan kenderaan terutama pada waktu puncak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







