BERITA SEMASAHIBURAN

Intan Najuwa dakwa diganggu individu misteri, terima ugutan bunuh

KUALA LUMPUR – Pelakon Datin Intan Najuwa mendakwa berdepan gangguan berterusan daripada individu misteri yang turut mengeluarkan ugutan bunuh terhadapnya menerusi media sosial.

Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 29, mendedahkan perkara itu menerusi perkongsian di Instagram apabila mendakwa menerima mesej peribadi yang mengganggunya hampir setiap hari.

Pelakon drama Jodohku Babysitter itu berkata, gangguan berkenaan bukan sahaja ditujukan kepadanya, malah individu terbabit turut menghubungi rakan-rakannya menerusi mesej peribadi dan e-mel.

“Bukan hanya saya, dia juga menghantar mesej peribadi dan e-mel kepada semua rakan saya.

“Sehinggakan dia menghubungi pejabat Kuala Lumpur Polo Club hampir setiap hari hanya untuk mencari saya, mendesak untuk bercakap dengan saya dan mengugut saya dengan pelbagai perkara,” katanya.

Lebih membimbangkan, individu yang dipercayai lelaki itu kembali mengganggunya selepas beberapa bulan tidak berbuat demikian, kali ini dengan meninggalkan komen berunsur ancaman bunuh.

“Individu di sebalik akaun palsu ini adalah seorang lelaki. Hari ini, dia kembali tetapi kali ini dengan komen mengancam untuk membunuh saya.

“Kepada sesiapa sahaja di sebalik akaun palsu ini, sila hentikan perbuatan ini serta-merta. Saya sudah cukup bersabar dengan gangguan, ugutan dan pencerobohan privasi.

“Sila ambil maklum bahawa ugutan bunuh dan gangguan berterusan merupakan perkara serius,” katanya.

Susulan kejadian itu, Intan menegaskan bahawa tindakan undang-undang termasuk membuat laporan polis boleh diambil sekiranya gangguan berkenaan tidak dihentikan.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan keselamatan dirinya, selain melindungi privasi dan keluarganya daripada terus menjadi sasaran.

“Jika saya membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang, anda mungkin berdepan dengan akibat yang serius.

“Saya mempunyai hak sepenuhnya untuk melindungi keselamatan, privasi dan keluarga saya. Perkara ini mesti dihentikan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button