Pegawai kanan SPRM terima pengiktirafan FCMI United Kingdom
PUTRAJAYA – Kejayaan barisan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menamatkan pengajian di Asia e-University (AeU) sekali gus meraih anugerah berprestij Fellowship Chartered Management Institute (FCMI), United Kingdom (UK) membuktikan komitmen berterusan suruhanjaya dalam melahirkan modal insan berkaliber bertaraf antarabangsa.
Pentauliahan bertaraf dunia daripada Chartered Management Institute (CMI) UK itu dizahirkan menerusi jalinan kerjasama strategik bersama AeU sebagai universiti pelopor bagi program berkenaan di Malaysia.
Seramai lima pegawai kanan SPRM menerima sijil dan watikah pengiktirafan FCMI terdiri daripada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM; Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Datuk Mohd Shahril Che Saad; Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, KPKPj Samsul Salip; dan KPKPj Mohd Fazli Husin daripada Bahagian Perisikan SPRM.
Majlis penyerahan sijil tersebut disempurnakan Pegawai Integriti AeU, Profesor Madya Dr. Azmi Mohd di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Hadir sama, Senior Manager (Strategic Alliances) AeU, Hazrani Hanafiah dan Manager APEL Centre AeU, Syed Badrul Hisyam Syed Adanan.
Pengiktirafan antarabangsa itu diraih susulan pencapaian cemerlang dalam akademik, di mana Azmi bersama Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Saiful Ezral menamatkan pengajian dalam program Sarjana Pengurusan (Master in Management).
Sementara itu, Shahril dan KPKPj Samsul menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), manakala KPKPj Mohd Fazli Husin daripada Bahagian Perisikan SPRM sedang mengikuti pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti berkenaan.
Dr. Azmi berkata, penganugerahan FCMI adalah penarafan kepimpinan tertinggi daripada CMI, sebuah badan profesional pengurusan terkemuka dunia yang ditubuhkan sejak tahun 1947 di United Kingdom.
“Gelaran Fellow ini bukan sahaja pengiktirafan tertinggi dalam bidang pengurusan dan kepimpinan, malah diiktiraf di lebih 170 buah negara di seluruh dunia,” katanya.
Menerusi penganugerahan tersebut, pegawai kanan SPRM terbabit diiktiraf sebagai pakar rujuk terkemuka dalam bidang pengurusan profesional serta berhak meletakkan gelaran rasmi ‘FCMI’ pada singkatan nama.
Pentauliahan berkenaan sekali gus menjadi penanda aras kompetensi unggul yang diakui secara meluas, sama ada dalam perkhidmatan awam mahupun sektor korporat di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Majlis Konvokesyen AeU Ke-15 yang bakal meraikan para graduan berkenaan dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober depan di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








