BERITA SEMASA

Kepakaran turath Ali Jum’ah wajar dimanfaatkan Malaysia – Mufti Wilayah

KUALA LUMPUR – Kepakaran bekas Mufti Besar Mesir, Sheikh Dr Ali Jum’ah dalam bidang turath dilihat mampu memberi manfaat kepada pembangunan ilmu berkenaan di Malaysia, sekali gus menjadikan beliau sesuai dijadikan rujukan dalam Majlis Penasihat Pondok dan Turath.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, beliau secara peribadi berpandangan tiada kesalahan untuk kerajaan melantik tokoh berkenaan berdasarkan penguasaan ilmunya dalam bidang tersebut.

Beliau yang mempunyai pengalaman hampir 25 tahun dalam pengajian dan penelitian turath berkata, kepakaran Ali Jum’ah boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh perkembangan ilmu tradisi Islam di negara ini.

“Kita kena lebih objektif dan memahami realiti ilmu dengan baik. Tidak ada orang yang sempurna dan ambillah yang terbaik daripada tokoh kita walaupun kita tidak bersetuju dengannya.

“Inilah yang dikatakan hikmah dan kebijaksanaan. Saya bercakap benar berdasarkan pengalaman saya di dalam pembelajaran turath yang mendalam. Tahniah kerajaan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas kritikan berkaitan pendirian politik Ali Jum’ah yang didakwa menyokong tindakan menindas pihak tertentu di Mesir, Ahmad Fauwaz berpandangan perkara itu perlu dilihat dalam konteks politik negara berkenaan yang telah berlalu.

Menurutnya, penilaian terhadap seseorang tokoh juga perlu mengambil kira kepakaran ilmu yang dimiliki tanpa mengetepikan perbezaan pandangan terhadap individu terbabit.

Semalam, media melaporkan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak melantik ulama dari Mesir itu ke dalam Majlis Penasihat Pondok dan Turath yang dicadangkan kerajaan.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota membangkitkan perkara itu ketika sidang Dewan Rakyat dengan mendakwa tokoh berkenaan pernah menyokong jeneral tentera yang menggulingkan seorang presiden dipilih secara demokratik di Mesir.

Beliau turut mendakwa ulama berkenaan menghalalkan pembunuhan ribuan penyokong pemimpin yang digulingkan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button