AGAMABERITA SEMASA

Tiada pertembungan tarikh PRK dan haji, utamakan tertib dalam tuntutan agama – Mufti WP

KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah menegaskan bahawa isu keutamaan antara menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan menunaikan ibadah haji perlu dilihat secara tertib dan berlandaskan prinsip keutamaan atau awlawiyyat dalam Islam.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tularnya pandangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang membangkitkan persoalan keutamaan antara keluar mengundi atau menunaikan ibadah haji dan umrah semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menurut Dr. Luqman, tarikh pengundian PRK Ayer Kuning telah ditetapkan pada 26 April 2025 dan pengundian awal adalah pada 22 April 2025.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan kemenangan politik perlu lebih diutamakan berbanding keperluan mengerjakan ibadah haji dan umrah ketika berceramah sempena kempen PRK Ayer Kuning baru-baru ini.

Sedangkan katanya, penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan pada 29 April 2025.

“Ini jelas menunjukkan bahawa tiada pertembungan antara tarikh mengundi dan tarikh berangkat ke Tanah Suci.

“Justeru, seseorang masih mempunyai ruang dan kesempatan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sekiranya dijemput menunaikan haji,” katanya dalam kenyataan bertajuk An-Nasihah #10: Mengurus Tertib dan Keutamaan Dalam Agama di Facebook rasmi beliau hari ini.

Beliau menambah, sekalipun berlaku pertembungan, isu itu perlu dilihat secara menyeluruh berdasarkan keadaan individu.

Keutamaan dalam melaksanakan tuntutan agama berbeza antara satu individu dengan individu lain, bergantung kepada faktor seperti jenis ibadah haji (wajib, sunat, atau nazar), tahap kesihatan, keadaan kewangan, urusan keluarga dan faktor-faktor lain yang relevan.

“Dalam menghadapi kehangatan musim pilihan raya, kami menyeru agar semua pihak bersikap objektif, profesional dan beretika dalam mengurus segala urusan berkaitan dengannya,” jelas beliau lagi.

Untuk maklumat lanjut, beliau turut menyarankan agar masyarakat merujuk kepada artikel terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan seperti Bayan Linnas Siri Ke-260: Etika dan Adab Pilihan Raya dan Bayan Linnas Siri Ke-283: Mengimpikan Politik Harmoni melalui laman web rasmi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button