BERITA SEMASA

JKM salur RM728.5 juta bantu warga emas, OKU dan pesakit kronik

KUCHING – Sebanyak RM728.5 juta telah dibelanjakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta pesakit kronik di seluruh negara sehingga Jun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi Bantuan Warga Emas (BWE) dan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar (BPT).

Beliau berkata, bantuan berkenaan antara lain bertujuan meringankan beban keluarga yang menjaga individu terlantar atau menghidap penyakit kronik.

“Dalam usaha meringankan beban keluarga, JKM turut menyediakan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar, Pesakit Kronik Terlantar dan Pesakit Kronik Tidak Terlantar kepada mereka yang memenuhi syarat.

“Sehingga Jun 2026, sebanyak 42,036 penerima di seluruh negara telah menerima bantuan ini dengan jumlah perbelanjaan lebih RM119.5 juta,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sokongan Penjaga Insan Sejahtera (SPeKTRUM) Peringkat Sarawak di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, di sini hari ini.

Nancy berkata, dalam tempoh sama, BWE disalurkan kepada 170,133 penerima di seluruh negara dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM609 juta.

Bagi Sarawak, beliau berkata, seramai 23,034 warga emas menerima manfaat BWE membabitkan peruntukan lebih RM94.3 juta.

Selain itu, katanya, lebih RM10.4 juta disalurkan kepada 3,235 penerima BPT di negeri berkenaan.

Menurut Nancy, pengukuhan ekosistem penjagaan negara perlu diberi perhatian bagi memastikan kebajikan penjaga yang menguruskan golongan uzur dan terlantar turut terbela.

Katanya, tanggungjawab menjaga golongan berkenaan tidak seharusnya dipikul keluarga semata-mata tanpa sokongan daripada pelbagai pihak.

“Sebab itulah menerusi SPeKTRUM, penjaga diberikan latihan, sokongan psikososial dan motivasi supaya mereka dapat memberikan penjagaan terbaik tanpa mengabaikan kesihatan diri sendiri,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button