BERITA SEMASA

Food4U terus hulur bantuan, selamatkan gelandangan, keluarga terdesak

KUALA LUMPUR – Pertubuhan kebajikan Food4U terus memainkan peranan dalam membantu golongan terpinggir dan terdesak menerusi pelbagai inisiatif termasuk membantu gelandangan dan keluarga terusir menerusi agihan makanan.

Pengasas Food4U, Tony Lian Kam Leong atau mesra disapa Uncle Tony berkata, sifat ihsan dan belas kasihan merupakan teras kemanusiaan, lebih-lebih lagi dalam situasi kehidupan yang semakin mencabar sehingga ada individu dan keluarga terpaksa bergelut untuk memenuhi keperluan asas.

Uncle Tony terus aktif dalam membantu golongan gelandangan di Kuala Lumpur meskipun telah mencecah usia 75 tahun.

“Apabila kita menghulurkan bantuan kepada mereka yang sedang diuji, penderitaan yang ditanggung boleh berubah menjadi kehidupan yang lebih bermakna dan penuh harapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Uncle Tony, antara kes yang berjaya dibantu ialah seorang lelaki dikenali sebagai Safuideen yang sebelum ini hidup sebagai gelandangan.

Antara sumbangan yang dihulurkan Food4U kepada individu yang terjejas akibat kesukaran hidup dan diberi perlindungan sementara.

“Hasil usaha Food4U, beliau kini telah selamat kembali ke pangkuan keluarganya di Tamil Nadu, India,” jelasnya.

Dalam kes berasingan, Food4U turut membantu seorang ibu tunggal bersama tiga orang anak dan bapa warga emasnya yang terpaksa tidur di dalam kereta selepas diusir dari rumah sewa akibat gagal membayar sewa.

“Food4U telah berunding bersama tuan rumah, sekali gus membolehkan keluarga berkenaan kembali mendiami rumah mereka.

“Selain itu, seorang individu kurang upaya yang hidup sebagai gelandangan di sekitar Medan Tuanku turut diselamatkan dan diberikan perlindungan sementara di The Sanctuary 1,” katanya.

Food4u turut membantu keluarga seorang ibu tunggal anak tiga yang dihalau bersama bapanya dari rumah sewa.

Uncle Tony berkata, program pengagihan makanan dan barangan keperluan asas kepada golongan kurang bernasib baik diteruskan secara mingguan di semua lokasi yang telah ditetapkan.

Namun, beliau mengakui jumlah penerima bantuan menunjukkan peningkatan yang mendadak.

“Jumlah mereka yang memerlukan bantuan semakin bertambah dan ini amat merisaukan,” katanya.

Sehubungan itu, Food4U merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penderma yang terus menunjukkan keprihatinan dan kemurahan hati.

“Sokongan anda membolehkan kami terus membantu mereka yang berada dalam keadaan amat memerlukan.

“Kami juga amat berterima kasih kepada para sukarelawan atas komitmen dan khidmat bakti yang tidak berbelah bahagi kepada masyarakat,” katanya.

Food4U menegaskan komitmen mereka untuk terus menjadi jambatan harapan kepada golongan terpinggir selari dengan nilai kemanusiaan dan semangat saling membantu dalam masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button