BERITA SEMASA

YAPEIM salur RM3.1 juta sumbangan Aidilfitri, manfaat lebih 29,000 penerima

PUTRAJAYA – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) terus memperkukuh peranan membantu masyarakat apabila menyalurkan sumbangan Aidilfitri 2026 berjumlah RM3.1 juta yang memanfaatkan lebih 29,100 pelajar dan golongan memerlukan di seluruh negara.

Sumbangan tersebut dilaksanakan di 192 lokasi bermula 26 Mac lalu hingga 18 April ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa komuniti, menyemai kesyukuran serta mengukuhkan ukhuwah selepas Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan YAPEIM dalam membantu rakyat, khususnya golongan memerlukan.

“Alhamdulillah, untuk sumbangan Aidilfitri sahaja, YAPEIM bersama rakan strategik telah menyumbang lebih RM3.12 juta tahun ini yang memberi manfaat kepada lebih 29,000 penerima,” katanya ketika berucap pada Majlis Serahan Sumbangan Aidilfitri 2026 di Menara Ochre, di sini hari ini.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, seramai 300 pelajar menerima bantuan berjumlah RM100 setiap seorang, manakala 100 ketua isi rumah turut menerima bantuan tunai RM100 berserta bakul makanan bernilai RM100.

Related Articles

Sumbangan itu disalurkan menerusi kerjasama sektor korporat melibatkan Hong Leong Islamic Bank, Affin Islamic Bank dan Gas Malaysia Berhad.

Sejak penubuhannya pada 1985 hingga Disember 2025, YAPEIM telah mengagihkan lebih RM753 juta kepada lebih 10.1 juta penerima melalui pelbagai program pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan.

Selain itu, menerusi Program Ar-Rahnu yang diperkenalkan sejak tahun 2000, YAPEIM turut membantu lebih sejuta penggadai dengan jumlah pembiayaan mencecah RM18.8 bilion.

Dalam perkembangan sama, YAPEIM turut melancarkan Kempen Keep Malaysia Clean (KMC-YAPEIM) sebagai usaha memupuk budaya kebersihan dan integriti dalam kalangan masyarakat.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button