Jangan terperangkap isu kalungan bunga di makam Mustafa Kemal Ataturk, fokus pembangunan negara – Menteri Agama
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu terperangkap dengan isu tular berkaitan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalungkan bunga di pusara Mustafa Kemal Ataturk ketika lawatan rasmi ke Turkiye.
Menurut beliau, perhatian masyarakat wajar diberikan kepada perkara yang lebih besar dan memberi kesan langsung kepada negara seperti pembangunan ekonomi, pelaburan serta pengukuhan hubungan dua hala.
“Kita seharusnya memberi fokus kepada agenda lebih penting termasuk kemajuan negara, kesejahteraan rakyat dan hubungan antarabangsa, bukan terperangkap dengan perkara remeh yang boleh mengalih tumpuan daripada isu utama,” katanya di sini hari ini.
Zulkifli berkata, demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Peranti e-Braille kepada Guru al-Quran OKU Penglihatan di sini, yang turut menyaksikan pelbagai inisiatif kerajaan dalam memperkukuh agenda inklusiviti.
Dalam majlis sama, beliau mengumumkan langkah kerajaan mempergiat penggunaan peranti e-Braille di masjid bagi memudahkan golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan mengakses pembelajaran dan pengajaran al-Quran.
Zulkifli turut berkata, inisiatif itu dilaksanakan melalui kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersama sebuah syarikat tempatan yang membangunkan peranti e-Braille berteknologi tinggi buatan Malaysia.
“Alhamdulillah, hari ini kita menyaksikan penyerahan 10 unit peranti e-Braille kepada guru al-Quran OKU penglihatan. Inovasi ini sangat bermakna kerana ia dihasilkan oleh anak tempatan, lebih ringan serta ditawarkan pada kos yang berpatutan,” katanya lagi.
Seramai 20 guru al-Quran OKU penglihatan menerima peranti e-Braille bernilai keseluruhan RM90,000, selain menyertai bengkel khas bagi meningkatkan kemahiran penggunaan teknologi berkenaan.
Zulkifli berkata, peranti e-Braille yang mempunyai berat kurang daripada satu kilogram itu jauh lebih praktikal berbanding al-Quran Braille fizikal yang sebelum ini boleh mencecah sehingga 10 kilogram.
“Dengan teknologi ini, guru al-Quran OKU penglihatan dapat mengajar dengan lebih mudah dan berkesan. Ia bukan sahaja menggantikan al-Quran Braille, malah dilengkapi pelbagai fungsi pintar termasuk sokongan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya lagi.
Tambah beliau, peranti berkenaan juga bersifat ‘all-in-one’ kerana mampu menggantikan fungsi mesin brailler, komputer riba serta bahan pembelajaran lain, sekali gus menjadikannya lebih mesra pengguna.
Beliau turut menjelaskan, usaha memperluas penggunaan e-Braille itu selaras dengan Pelan Tindakan Agensi Agama bagi OKU Muslim 2024–2028 yang memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran braille dalam kalangan guru al-Quran.
Sebagai langkah awal, sebuah peranti e-Braille akan ditempatkan di Masjid Jamek Kuala Lumpur, manakala dua lagi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi membolehkan kelas serta kuliah berkaitan penggunaan peranti itu dijalankan secara berterusan.
“Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan prinsip keterangkuman supaya tiada golongan masyarakat tercicir daripada akses kepada ilmu agama,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








