Seorang aktivis GSF hilang selepas ditahan tentera rejim
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menzahirkan kebimbangan terhadap laporan kehilangan wartawan dan aktivis politik Britain, Yvonne Ridley selepas ditahan pihak berkuasa rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menurut Zulkifli, Ridley sepatutnya dihantar pulang ke Istanbul namun gagal dikesan semasa proses pemindahan dari Penjara Ketziot.
“Yvonne Ridley telah memeluk Islam setelah ditawan Taliban di Afghanistan pada tahun 2001.
“Beliau dikenali sebagai tokoh yang lantang mengkritik rejim Zionis,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Tambah beliau, Ridley sebelum ini pernah berkongsi pengalaman belayar ke Gaza menerusi Cyprus bersama Lauren Booth, adik ipar bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair dalam sebuah syarahan di Durham University yang turut dihadirinya.

Justeru, Zulkifli turut menyeru umat Islam agar mengenepikan perbezaan pandangan dan bersatu hati dalam mendesak pembebasan semua aktivis GSF dan Freedom Flotilla Coalition yang kini ditahan pihak rejim.
“Ketepikanlah perbezaan kita, ambil ruang untuk bersatu hati demi saudara kita di Gaza.
“Kini ada aktivis GSF kita telah ditahan oleh sang rejim, dan kita mesti bersama-sama mendesak agar mereka dibebaskan segera,” ujarnya.
Beliau turut menyeru umat Islam untuk terus berdoa dan melaksanakan solat hajat bagi kesejahteraan mereka yang dizalimi di bumi Gaza.
“Dengan semangat #IhsanUntukPalestin, jangan berhenti berdoa dan solat hajat buat mereka yang dizalimi. Diiringi doa setulusnya,” katanya.
Beliau menutup kenyataannya dengan doa: “Hasbunallahu wa ni’mal wakil, ni’mal maula wa ni’mal nasir.”
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








