BERITA SEMASA

Ardell Aryana kongsi prosedur jika bot Global Sumud Flotilla diserang Zionis

KUALA LUMPUR – Pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana berkongsi langkah kecemasan yang perlu dilakukan sekiranya bot dinaikinya dalam misi Global Sumud Flotilla diserang rejim Zionis Israel.

Menerusi siaran langsung di TikTok, Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, berkata, para sukarelawan telah diberi panduan jelas termasuk tanda telefon bimbit dibuang ke laut sebagai isyarat mereka telah ditangkap.

Global Sumud Flotilla
Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla membawa mesej kemanusiaan dan bantuan asas bagi membantu rakyat Palestin.

“Bila phone (telefon) dah dibuang, bermaksud saya telah ditangkap. Bila-bila masa sahaja sepanjang berlayar masuk ke lautan antarabangsa, macam-macam boleh terjadi.

“Jika bot kami diterjah, saya salah seorang yang diamanahkan untuk lakukan ‘live’ kecemasan SOS. Saya akan pakai jaket keselamatan dan rakam keadaan bot untuk buktikan kami hanya membawa misi bantuan, bukan senjata,” katanya.

Menurut Ardell, rakaman itu akan diteruskan sehingga arahan ‘buang phone’ diberikan oleh ketua misi sebelum mereka kehilangan akses dengan dunia luar.

Katanya lagi, sebaik sahaja telefon dibuang, segala urusan hanya diserahkan kepada Allah SWT.

“Jangan risau tentang kami, kami ada Allah. Kalian kena selalu berdoa,” katanya sambil menegaskan bahawa barisan sukarelawan lain akan tetap meneruskan misi jika berlaku sebarang insiden.

Global Sumud Flotilla merupakan inisiatif antarabangsa yang menghimpunkan lebih 1,000 sukarelawan dari 44 negara untuk menembusi sekatan laut Israel ke atas Gaza.

Misi itu bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan serta keperluan asas kepada lebih dua juta penduduk Palestin yang berdepan krisis berpanjangan akibat kepungan rejim Zionis.

Ia turut membawa mesej solidariti bahawa usaha membebaskan Gaza tidak akan terhenti, walaupun berdepan ancaman serangan dan penahanan oleh pihak Israel.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button