Gencatan senjata di Gaza: Malaysia tuntut AS bertindak lebih tegas terhadap Israel
PUTRAJAYA – Malaysia mendesak Amerika Syarikat (AS) agar bertindak dengan lebih tegas terhadap Israel yang dilihat bersikap angkuh dalam menerima syarat gencatan senjata secara kekal di Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
berkata, gencatan tersebut penting bagi memastikan penindasan dan kezaliman yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan.
“Berkaitan dengan cadangan oleh Presiden AS Joe Biden bersama Qatar dan Mesir, kami telah membincangkan isu ini di Kabinet pagi ini (Rabu), dan kami menyokong inisiatif daripada ketiga-tiga negara tersebut.
“Kami merasakan ini adalah cadangan yang munasabah untuk menjamin gencatan senjata segera dan diharapkan untuk keamanan yang kekal termasuk penyelesaian secara baik kepada konflik yang telah berlarutan selama beberapa dekad.
“Berdasarkan perbincangan saya dengan pemimpin Hamas, mereka lebih menyokong idea untuk mendapatkan keamanan secara kekal (gencatan senjata secara kekal),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, pada Jumaat lepas, Presiden AS, Joe Biden menggariskan pelan yang dipanggilnya sebagai pelan Israel yang terdiri daripada tiga fasa.
Tiga fasa berkenaan adalah menamatkan konflik berdarah, membebaskan semua tebusan dan membina semula kawasan Palestin yang musnah tanpa Hamas berkuasa.
Biden dikatakan telah memberitahu Emir Qatar bahawa beliau melihat Hamas menjadi penghalang kepada genjatan senjata secara kekal di Gaza.
Oleh sebab itu, Biden juga dilapor menggesa Qatar untuk terus menekan Hamas supaya menerima pelan damai yang dikemukakan, lapor AFP.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








