BERITA SEMASAPMX

PM ucap tahniah kepada Presiden Korea Selatan baharu, seru kerjasama lebih erat

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah kepada Lee Jae-myung atas pemilihannya sebagai Presiden Korea Selatan yang baharu, sambil menyifatkan kemenangan itu detik penting bagi negara tersebut.

“Ini menandakan titik perubahan buat Korea Selatan, sebuah negara yang telah melalui tempoh persaingan sengit dan penelitian awam dengan ketahanan serta semangat demokrasi yang tinggi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Anwar menyifatkan hubungan Malaysia-Korea Selatan telah dipertingkatkan ke tahap Rakan Strategik pada November 2024.

Anwar turut menyambut baik peluang untuk bekerjasama rapat dengan Presiden Mae-jyung dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan, khususnya dalam bidang perdagangan, teknologi, keamanan, keselamatan serta hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

“Hubungan Malaysia-Korea Selatan telah dipertingkatkan ke tahap Rakan Strategik pada November 2024.

“Ia satu pencapaian penting yang mencerminkan aspirasi bersama kedua-dua negara,” jelas Perdana Menteri.

Dalam konteks serantau, beliau menyatakan harapan agar ASEAN memainkan peranan yang lebih menonjol dalam kerangka dasar serantau Korea Selatan.

Malah, Anwar turut menekankan potensi besar kerjasama antara Malaysia dan Korea Selatan memandangkan kedua-dua negara kini mempengerusikan ASEAN dan APEC masing-masing pada tahun 2025.

“Dalam era ketidaktentuan global, hubungan yang lebih erat antara Asia Tenggara dan Korea Selatan adalah amat penting bagi kita semua,” katanya lagi.

Selain itu, Anwar melahirkan keterujaannya untuk bertemu Mae-jyung di Kuala Lumpur pada Oktober ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN dan sekali lagi di Gyeongju semasa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC.

“Malaysia mendoakan beliau diberikan kebijaksanaan dan kejayaan dalam menerajui negaranya,” ujar Anwar.

BACA : Lee Jae-myung dilantik Presiden Korea Selatan selepas menang pilihan raya mengejut

Menurut laporan agensi berita Yonhap, Jae-myung calon daripada Parti Demokratik (DP) yang berhaluan liberal, memenangi pilihan raya dengan 49.42 peratus undi.

Beliau menewaskan pencabarnya daripada Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang konservatif, Kim Moon-soo yang meraih 41.15 peratus.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button