Penyanyi Brazil, Rick Sollo maut nahas helikopter
SAO PAULO – Penyanyi Brazil, Rick Sollo, 59, daripada pasangan muzik sertanejo Rick & Renner, maut bersama empat lagi individu selepas helikopter dinaiki mereka terhempas di kawasan pergunungan Santa Catarina, selatan Brazil.
Menurut laporan media Brazil dan antarabangsa, bangkai helikopter Bell 430 itu ditemukan pada Selasa selepas operasi pencarian selama hampir 20 jam.
Lima individu di dalamnya disahkan meninggal dunia termasuk ahli perniagaan Bruno Avelar, jurukamera Paulo Soares, juruterbang Antonio dan pembantu juruterbang Leopoldo.

Helikopter berkenaan hilang selepas berlepas dari Porto Belo menuju ke Sao Joaquim pada Isnin. Ia ditemukan di kawasan Santa Barbara, antara Vacas Gordas dan Morro Agudo di perbandaran Urubici, iaitu kawasan hutan pergunungan yang sukar diakses.
Operasi pencarian disertai kira-kira 40 anggota bomba, lebih 10 kenderaan, dron, dua anjing pengesan serta sokongan pesawat. Keadaan hujan, kabus dan jarak penglihatan rendah menyukarkan operasi, manakala pasukan penyelamat terpaksa memasuki kawasan hutan yang sukar untuk sampai ke lokasi nahas.
Laporan media Brazil turut menyebut Santa Catarina berada di bawah amaran ribut ketika helikopter itu hilang. Cuaca buruk termasuk hujan lebat dan angin kencang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan negeri berkenaan.
Agensi penerbangan awam Brazil memaklumkan, Bell 430 keluaran 2001 itu mempunyai dokumentasi yang lengkap dan kebenaran untuk beroperasi. Punca nahas masih dalam siasatan pihak berkuasa penerbangan Brazil.
Rick atau nama sebenarnya Rick Sollo dikenali menerusi duo Rick & Renner dan mempunyai kerjaya dalam muzik sertanejo sejak era 1980-an. Selain menyanyi, beliau turut mencipta lagu yang dirakamkan oleh beberapa artis Brazil terkenal.
Menurut laporan CNN Brazil, mayat kelima-lima mangsa dibawa ke Florianopolis untuk pemeriksaan forensik sebelum diserahkan kepada keluarga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







