JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah filem animasi Ejen Ali ditemukan meninggal dunia di Kinabatangan

KINABATANGAN – Misteri kehilangan pengarah filem animasi terkenal Ejen Ali, Andi Abdul Ghani Kadir, 41, terjawab apabila mayatnya ditemukan di tepi Sungai Kampung Batu Putih di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, penemuan itu berlaku kira-kira pukul 11.25 pagi, berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang petang kelmarin.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 5.03 petang kelmarin sebelum menghantar empat anggota ke lokasi kejadian yang terletak 23 kilometer dari balai.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan namun ditangguhkan pada pukul 6.52 petang.

Usaha disambung semula pagi tadi (semalam) dan mangsa akhirnya ditemui di tepi sungai berhampiran kawasan dia dilaporkan hilang,” katanya memetik laporan BH Online.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika Andi bersama isterinya yang berusia 33 tahun dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Kota Kinabalu.

Kenderaan dipandu isterinya dikatakan terbabas ke bahu jalan sebelum Andi keluar dari kereta dan kali terakhir dilihat di jambatan Sungai Kampung Batu Putih.

Tinjauan di media sosial mendapati beberapa netizen memaklumkan pasangan itu baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 16 September lalu.

Untuk rekod, Ejen Ali The Movie diterbitkan pada 2019 oleh Primeworks Studios dan WAU Animation, selepas siri animasinya mencetus fenomena sejak ditayangkan di TV3 pada 2016.

Sekuelnya, Ejen Ali The Movie 2 yang ditayangkan pada 22 Mei lalu mencatat sejarah tersendiri dengan kutipan pecah panggung RM59.3 juta, menjadikannya filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi setakat ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button