POLITIK

Hadi dedah AS pernah tawar bantu Pas jatuhkan kerajaan

PENGKALAN CHEPA – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pemerintahan negara, lapor Malaysia Gazette.

Menurut Hadi, perkara itu berlaku ketika lawatan bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia, apabila beberapa pemimpin Pas ketika itu dijemput bertemu di Kedutaan Amerika Syarikat.

Katanya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Dr. Samsuri Mokhtar yang merupakan ketua politiknya ketika itu telah pergi ke kedutaan berkenaan untuk mengadakan pertemuan.

“Dia (pihak AS) nak ajak bincang, sanggup nak jatuh kerajaan, nak ambil alih kerajaan. Amerika sanggup tolong,” katanya ketika ketika menggulung perbahasan pada Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata, kedua-dua pemimpin Pas berkenaan bagaimanapun tidak terpengaruh dengan tawaran tersebut dan kekal dengan pendirian parti.

Menurutnya, selepas itu Duta AS meminta untuk bertemu dengannya dan beliau memenuhi permintaan tersebut bersama Datuk Mustafa Ali.

“Dia tanya, siapa Pas cadang jadi perdana menteri?

“Saya kata, siapa Amerika setuju? Siapa Amerika sokong, siapa dia?” ujarnya.

Hadi turut berkongsi kisah tersebut kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga mendapat pujian daripada negarawan itu.

“Saya cerita kepada Mahathir, Mahathir kata bagus,” katanya.

Beliau berkata, persoalan mengenai siapa yang bakal menjadi perdana menteri tidak sepatutnya menjadi keutamaan kerana perkara lebih penting ialah memastikan perpecahan dan krisis politik dapat diselesaikan.

“Yang penting, kita buat kerja. Kita selesaikan perpecahan, selesaikan krisis. Balik buat kerja, jalankan tugas,” tambahnya.

Pada masa sama, Abdul Hadi menyeru semua pihak supaya tidak terus berbalah dan sebaliknya kembali bersatu demi kepentingan bersama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button