JENAYAH & MAHKAMAH

Penipuan kod QR rugikan rakyat RM28.67 juta dalam enam bulan

KUALA LUMPUR – Kes penipuan membabitkan penggunaan kod QR yang semakin meluas menyaksikan kerugian mencecah RM28.67 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, jumlah itu membabitkan sebanyak 5,134 kes penipuan.

Rekod berkenaan turut menunjukkan jumlah kerugian akibat penipuan membabitkan kod QR sejak 2023 sehingga kini mencecah RM80.86 juta.

“Antara modus operandi yang digunakan ialah quishing, iaitu teknik penipuan yang menyembunyikan pautan laman sesawang palsu di sebalik kod QR.

“Mangsa yang mengimbas kod berkenaan kemudiannya akan dibawa ke laman sesawang palsu yang menyerupai platform perbankan atau perkhidmatan rasmi sebelum maklumat atau transaksi mereka disalahgunakan,” menurut JSJK.

Antara negeri yang merekodkan jumlah laporan tertinggi adalah Selangor, Johor dan Kuala Lumpur selari dengan penggunaan transaksi dalam talian yang semakin meluas.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terus mengimbas kod QR yang diterima atau dipaparkan tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

Pengguna juga perlu memastikan alamat laman sesawang yang dibuka adalah sah dan tidak memasukkan maklumat perbankan atau peribadi sekiranya terdapat sesuatu yang mencurigakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button