BERITA SEMASA

Polis Johor tumpas sindiket penipuan kerja dalam talian, 15 lelaki ditahan

JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan satu sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian selepas menyerbu sebuah banglo di Batu Pahat, Ahad lalu yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan yang dilakukan pada pukul 5.15 pagi itu membawa kepada penahanan 15 lelaki termasuk seorang warga tempatan manakala selebihnya merupakan warga asing berusia antara 21 hingga 38 tahun.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 14 unit komputer riba dan 19 telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM30,000 dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini mula beroperasi sejak Mac lalu dan menjadikan premis tersebut sebagai pusat panggilan untuk menipu mangsa, khususnya dari Rusia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Kumar, ahli sindiket terbabit menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menjalankan komunikasi dan menyampaikan tawaran kerja dalam talian yang sebenarnya tidak wujud.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan.

Kertas siasatan juga telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan polis diminta melengkapkan beberapa keterangan tambahan bagi mengukuhkan siasatan.

“Polis Johor memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menjadikan negeri ini sebagai pusat kegiatan menyalahi undang-undang,” tegas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button