Op Pedo: Jaringan pedofilia dalam talian tumpas, remaja antara 31 individu ditahan
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu jaringan pedofilia terancang yang menjalankan kegiatan memiliki dan menjual bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) serta pornografi dewasa melalui pelbagai platform media sosial hasil pelaksanaan Op Pedo Bersepadu 2.0 di seluruh negara, baru-baru ini.
Operasi khas yang dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dari 22 hingga 30 September lalu itu membawa kepada penangkapan 31 individu berusia antara 12 hingga 71 tahun termasuk enam kanak-kanak bawah umur.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, operasi yang digerakkan secara serentak di 37 lokasi seluruh negara itu membabitkan 206 pegawai dan anggota daripada 14 kontinjen PDRM.
“Daripada 37 sasaran, seramai 31 suspek berjaya ditahan, terdiri daripada 25 sasaran utama dan enam tangkapan susulan.
“Mereka datang daripada pelbagai latar belakang termasuk guru, jurutera, pereka grafik, tukang masak, pelajar sekolah dan universiti serta penganggur,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Mohd Khalid berkata sedemikian pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.
Menurut beliau, siasatan turut mendapati elemen komersialisasi menjadi faktor utama jenayah itu berleluasa, apabila aktiviti pengedaran bahan lucah kanak-kanak kini berstruktur dan bermotifkan keuntungan.
“Salah seorang suspek berusia 17 tahun mencatat aliran kewangan mencecah RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, menunjukkan tahap moral dan pengaruh digital yang amat membimbangkan,” katanya.
Tambahnya, kejayaan operasi itu hasil risikan digital bersepadu dan pemantauan berterusan oleh Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bersama MCMC serta kerjasama agensi penguat kuasa antarabangsa.
Antara bukti yang diperoleh ialah 82 peranti digital termasuk komputer, telefon bimbit, modem dan storan awan, yang mengandungi lebih 880,000 fail digital bahan lucah iaitu peningkatan 20 kali ganda berbanding Op Pedo 1.0 pada Disember tahun lalu yang hanya merekodkan 40,000 fail.
Mengenai modus operandi, Mohd Khalid menjelaskan suspek mengakses dan memuat turun bahan CSAM melalui Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram, Tumblr, dark web dan storan awan.
“Sebahagian suspek bertindak sebagai pentadbir (admin) kumpulan Telegram dan menawarkan akses berbayar kepada pelanggan menggunakan transaksi e-wallet atau kod QR perbankan, termasuk AmBank dan Touch ’n Go. Bahan-bahan tersebut dijual pada harga antara RM30 hingga RM50,” jelasnya.
Setakat ini, 29 kertas siasatan telah dibuka di bawah pelbagai peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 8 dan Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, bagi membanteras jenayah keji yang semakin membarah dalam ruang siber negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







