Seorang lagi anak suspek kes bunuh isteri dan anak maut ditangan bapa sendiri
ALOR SETAR – Lelaki yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan isteri dan anak berusia 10 tahun berhampiran Pekan Simpang Kuala di Jalan Sultan Abdul Halim, di sini petang semalam turut mencampak seorang lagi anaknya ke dalam longkang besar menyebabkan kanak-kanak itu terbunuh.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun itu ditemukan di Pantai Leman, Kuala Kedah selepas dihanyutkan arus, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal terhadap mangsa warga Myanmar itu menemui kesan jerutan pada leher dipercayai dilakukan oleh bapanya.
“Mangsa adalah anak bongsu kepada seorang lelaki warga Myanmar berusia 43 tahun yang telah ditahan di perkarangan Masjid Al Hidayah, Bukit Pinang.
“Suspek adalah lelaki yang disyaki terlibat dalam pembunuhan isteri dan anak sulungnya yang berusia 10 tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Menurut Adzli, suspek sebelum itu dilihat saksi berjalan bersama anak bongsunya di sekitar kawasan Jalan Pegawai dan kemudian kelibat anak kecil itu tidak lagi kelihatan.
“Saksi kata nampak suspek bersama anaknya dan kemudian terdengar bunyi sesuatu terjatuh dalam air,” katanya.
Menurut Adzli, suspek berjaya ditahan ketika berada di Masjid Al-Hidayah bersama seorang lagi anak lelakinya yang berusia lima tahun selepas dipercayai berjalan kaki sejauh lebih 178 kilometer dari Simpang Kuala ke Bukit Pinang.
“Lima beranak ini dipercayai tinggal di bawah jambatan sebelum berpindah ke bangunan terbiar di lokasi mayat ditemui.
“Hasil ujian mendapati suspek positif dadah jenis syabu, ganja, dan morfin,” katanya lagi.
Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif pembunuhan, dengan kemungkinan faktor kesempitan hidup dan pengaruh dadah turut disiasat.
Pihak polis juga telah merampas sebilah parang yang mempunyai kesan tertentu untuk dianalisa.
Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita berusia 34 tahun dan anak perempuannya yang berusia 10 tahun dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar di Pekan Simpang Kuala dengan kesan kecederaan pada tubuh badan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






