JENAYAH & MAHKAMAH

Polis buru lelaki asing buat gangguan fizikal terhadap pelajar sekolah

ARAU – Polis sedang memburu seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan membabitkan dakwaan cubaan culik dan gangguan fizikal terhadap murid sekolah, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu berusia 41 tahun pukul 1 tengah hari tadi.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.45 petang semalam ketika pengadu bersama isterinya sedang melatih pelajar kelas silat di padang sekolah rendah berkenaan.

“Pengadu mendapati, seorang lelaki warga asing masuk ke pekarangan sekolah melalui pintu pagar belakang, terus ke kawasan padang tempat mereka berlatih.

“Suspek kemudian bertindak memegang, mengangkat serta mencium beberapa murid lelaki tanpa sebab munasabah,” katanya.

Related Articles

Ahmad Mohsin kemudiannya berkata, pengadu yang curiga dan bimbang suspek mempunyai niat buruk, segera menghalang perbuatan lelaki terbabit lalu mengarahkan suspek beredar dari kawasan itu sebelum dibantu pengawal keselamatan sekolah yang tiba untuk mengusirnya dengan segera.

“Suspek terus beredar meninggalkan kawasan sekolah dan melarikan diri menuju ke kawasan hutan berdekatan. Pengadu juga memaklumkan bahawa suspek didapati tidak mahir menggunakan bahasa Melayu, sebaliknya hanya bercakap dalam bahasa Thailand,” katanya lagi.

Susulan kejadian, polis sudah berjumpa bersama pihak sekolah bagi mengesahkan insiden berkenaan dan dimaklumkan mereka sudah berbincang bersama pengadu dan menasihatkannya supaya membuat laporan polis demi keselamatan murid lain.

“Laporan itu dirujuk kepada pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek terbabit,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button