POLITIK

Ab Rauf kekal Ketua Menteri jika BN menang PRN Melaka

JASIN – Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dijangka terus diberi kepercayaan menerajui Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) bersama rakan strategiknya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) itu.

Bayangan itu diberikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan Ab Rauf sebagai pemimpin berpotensi berdasarkan pengalamannya mengenali Ketua Menteri itu sejak berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja UMNO.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap melancarkan jentera BN Parlimen Jasin di Dewan Alamanda, di sini, malam ini.

“Benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau. Itulah dia Datuk (Seri) Rauf.

“Insya-Allah, Datuk Rauf, walaupun kita beli barang dalam talian, barang itulah juga yang Melaka akan dapat,” katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.

Majlis itu turut dihadiri Ab Rauf; Ketua UMNO Bahagian Jasin merangkap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menggesa jentera BN memberikan sokongan padu kepada calon PAS yang bertanding di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN berkenaan.

Beliau berkata, persefahaman antara kedua-dua parti perlu diterjemahkan menerusi sokongan jentera dan undi bagi memastikan calon yang bertanding di kerusi dipersetujui masing-masing mendapat kemenangan.

Sebagai timbal balik, katanya, jentera dan pengundi PAS diharap memberikan sokongan kepada calon BN yang bertanding di 21 kerusi DUN.

“Pada kali ini, janji mereka kepada kita, jentera dan undi mereka akan diberikan kepada calon BN yang bertanding di 21 DUN di Melaka.

“Janji kita kepada mereka pula, mereka akan bertanding di tujuh DUN. Saya minta semua jentera dan juga pengundi UMNO serta BN supaya memberikan sokongan kepada mereka bagi memastikan kerjasama yang baik,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button