BERITA SEMASA

Guru diserang pelajar dibenarkan keluar hospital

KUCHING – Seorang guru yang didakwa diserang dengan kapak oleh pelajar di sebuah sekolah swasta di Kuching, kelmarin telah dibenarkan keluar dari hospital, hari ini.

Tunku Putra-HELP (TPH) dalam satu kenyataan di akaun media sosialnya berkata, pihaknya menghargai keberanian dan ketenangan guru tersebut semasa insiden berkenaan serta para pelajar yang bertindak pantas untuk membantu guru dan rakan sekelas mereka.

“Kami berasa gembira untuk memaklumkan bahawa guru berkenaan telah dibenarkan keluar dari hospital dan mendoakan agar beliau terus sembuh sepenuhnya,” kata sekolah swasta tersebut dalam satu kenyataan, hari ini.

TPH berkata, pihaknya juga telah menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada beberapa pelajar susulan insiden berkenaan.

“Pihak sekolah sedang membuat pengaturan untuk sokongan kaunseling susulan disediakan kepada pelajar yang mungkin meperlukannya.

“Atas permintaan keluarga yang terlibat, kami memohon supaya privasi mereka dihormati bagi memberikan mereka masa dan ruang untuk mengendalikan apa yang telah berlaku.

“Pihak sekolah kekal komited untuk memberikan sokongan berterusan kepada mereka yang terjejas,” katanya sambil menambah bahawa pelajar yang terlibat dalam insiden itu tidak lagi berdaftar di sekolah berkenaan.

Kenyataan tersebut turut memberitahu, sesi persekolahan telah disambung semula pada 22 Oktpber, dengan kira-kira 80 peratus pelajar kembali ke kampus.

TPH berkata langkah keselamatan yang dipertingkatkan, termasuk kehadiran tiga pegawai polis bantuan di kawasan sekolah dan pemeriksaan keselamatan di pintu masuk, akan terus dilaksanakan sehingga akhir tahun persekolahan.

Kepimpinan sekolah dan Lembaga Pengelola akan terus menyemak semula protokol keselamatan dan berkerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menilai langkah-langkah tambahan bagi memperkukuh keselamatan kampus.

“Kami juga ingin merayu kepada orang ramai supaya menghentikan penyebaran rakaman CCTV dan foto yang melibatkan pelajarnya serta menghormati privasi keluarga yang terjejas,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button