BERITA SEMASA

KPM percepat lantikan calon simpanan, 2,633 guru bakal terima tawaran

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mempercepatkan proses lantikan calon simpanan guru tahun 2025 dengan seramai 2,633 individu dijangka menerima tawaran pelantikan dalam masa terdekat bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar di sekolah rendah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah itu dibuat sebagai persediaan menghadapi situasi dua kohort murid yang dijangka berlaku pada tahun 2027, selain memastikan kelancaran operasi dan keberkesanan sistem pendidikan negara.

Katanya, seramai 3,150 guru telah diambil secara Contract of Service (COS) bagi menampung keperluan segera berdasarkan jumlah pendaftaran murid dan keperluan sebenar di sekolah rendah.

“Pada peringkat awal, kementerian menyasarkan pengambilan sehingga 20,000 guru sekiranya keseluruhan kira-kira 400,000 murid Kohort 6 Tahun mendaftar.

“Namun, setakat ini, hanya 73,386 murid direkodkan telah berdaftar,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Menurutnya, pengambilan khas secara COS itu tidak akan menggantikan laluan profesional keguruan yang kekal menjadi mekanisme utama perancangan dan pembangunan tenaga pengajar negara.

Dalam pada itu katanya, terdapat dua kumpulan calon simpanan bagi tahun 2025, iaitu calon simpanan Julai dan Disember, melibatkan keseluruhan 4,417 individu.

Katanya, sebahagian calon berkenaan tidak dapat dilantik lebih awal berikutan berlaku lebihan permohonan dalam beberapa opsyen pengkhususan tertentu sehingga proses pelantikan terpaksa ditangguhkan sementara menunggu kekosongan jawatan.

“Antara opsyen yang mencatatkan lebihan tertinggi ialah Pendidikan Moral dan Bimbingan serta Kaunseling, selain beberapa opsyen lain.

“Daripada jumlah keseluruhan calon simpanan tersebut, seramai 857 orang telah dilantik dan melaporkan diri, manakala 20 lagi sedang melalui proses pelantikan.

“Selain itu, 2,633 calon bakal menerima tawaran lantikan dalam masa terdekat.
Bagi baki 907 calon yang masih terkesan dengan isu lebihan opsyen, KPM memaklumkan usaha sedang giat dijalankan untuk mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Sementara itu katanya, Kementerian turut memberi jaminan bahawa tempoh sah calon simpanan yang dijadualkan tamat pada Julai ini akan dilanjutkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button