BERITA SEMASA

Pencapaian murid UKKM menurun: Asyraf Wajdi setuju UPSR dikembalikan

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bersetuju sekiranya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dimansuhkan pada 2021 dikembalikan semula.

Asyraf Wajdi berkata, ia kerana pemansuhan UPSR telah menyebabkan penurunan drastik pencapaian murid dalam Ujian Kemasukan Ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM) terutama pelajar luar bandar dan daripada keluarga berpendapatan rendah.

Jelas beliau, perlu ada sistem penilaian berpusat dan terselaras supaya dapat mengukur keupayaan sebenar murid sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah.

“Pengalaman di MARA, apabila UPSR dimansuhkan, dapat lihat penurunan drastik pencapaian UKKM iaitu Ujian Kemasukan ke MRSM terutamanya bagi pelajar-pelajar luar bandar dan yang berpendapatan rendah.

“Sebab itulah apabila saya diamanahkan menjadi Pengerusi MARA, saya cuba melakukan intervensi membantu dengan mengadakan bengkel khas dan tuisyen percuma kepada pelajar luar bandar melalui Yayasan Pelajaran MARA bagi memastikan pelajar miskin dan daif luar bandar juga berupaya menjawab UKKM dengan baik dan berjaya masuk ke MRSM.

“Saya percaya ramai guru-guru dan yang terlibat langsung dengan sistem pendidikan negara bersependapat dengan saya. Betul tak?,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau malam tadi.

Tambah Asyraf Wajdi, beliau yakin Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan pegawai Kementerian Pendidikan (KPM) boleh membaca dan menganalisa pandangan guru, ibu bapa dan orang ramai yang memberikan ulasan di laman sosial beliau itu.

“Semuanya amat bermanfaat dan punya hujah, asas pandangan yang bernas untuk dipertimbangkan,” ujarnya lagi.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga perlu disemak semula dan dirombak selepas kewujudan masalah pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M).

Beliau berkata, perbincangan bersama KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjurus kepada isu 3M yang menjadi antara punca 10,177 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button