Mas Ermieyati setuju bayar ganti rugi kepada MARA – Asyraf Wajdi
Penyelesaian kes saman
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bersetuju membayar ganti rugi RM50,000 kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam satu penyelesaian kes saman.
Menurut Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Mahkamah Tinggi Melaka hari ini merekodkan penghakiman persetujuan itu.
Asyraf Wajdi berkata, Mas Ermieyati selaku defendan mengaku telah mengeluarkan kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah terhadap beliau serta MARA menerusi penghakiman di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Isa Aziz Ibrahim.
Katanya, Mas Ermieyati juga bersetuju memohon maaf secara bertulis, menarik balik dan memadam semua hantaran video di semua platform media sosial miliknya.
“Semoga ini menjadi pengajaran berguna kepada semua supaya lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menghancurkan reputasi individu serta institusi,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Pada Mei tahun lalu, Mas Ermieyati didakwa membuat tuduhan bahawa Asyraf Wajdi membazirkan dana MARA melalui lawatan tidak rasmi ke institusi di bawah agensi itu.
Beliau juga didakwa membangkitkan isu pemotongan program hafazan serta mendakwa MARA tidak lagi membiayai pelajar pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Asyraf Wajdi menyifatkan tuduhan sedemikian sebagai tidak berasas dan memfailkan saman terhadap Mas Ermieyati kerana didakwa memfitnah MARA.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








