BERITA SEMASALUAR NEGARA

Mbappe diancam tindakan undang-undang, boleh dipenjara tiga tahun

ASUNCIONBintang bola sepak Perancis, Kylian Mbappe, berdepan risiko hukuman penjara sehingga tiga tahun sekiranya Senator Paraguay, Celeste Amarilla meneruskan tindakan undang-undang terhadapnya atas dakwaan fitnah dan pencemaran nama baik susulan pertikaian berhubung kenyataan berunsur perkauman.

Menurut peguam Amarilla, Guillermo Duarte Cacavelos, anak guamnya sedang mempertimbangkan untuk memfailkan aduan di mahkamah Paraguay selepas Mbappe didakwa mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan reputasi senator itu ketika mengulas kontroversi berhubung kenyataan berbaur perkauman terhadap pemain berkenaan.

Katanya, jika mahkamah Paraguay menerima pertuduhan itu, hukuman maksimum yang boleh dikenakan ialah penjara sehingga tiga tahun, sekali gus memenuhi syarat di bawah perjanjian ekstradisi antara Paraguay dan Perancis.

“Kami bagaimanapun hanya akan memutuskan tindakan selanjutnya selepas siasatan pihak pendakwa raya Perancis terhadap Amarilla selesai,” katanya memetik akhbar Le Parisien.

Kontroversi tercetus selepas Mbappe dilaporkan menyifatkan Amarilla sebagai ‘wanita yang hina dan tidak layak memegang jawatan’ sebagai reaksi terhadap kenyataan senator itu yang mempersoalkan identiti kebangsaannya serta mengeluarkan kenyataan yang dianggap berunsur perkauman.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak pendakwa raya Perancis sedang menyiasat sama ada Amarilla melakukan penghinaan awam bermotifkan asal usul, etnik, kewarganegaraan, bangsa atau agama.

Jika disabitkan kesalahan, Amarilla boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun dan didenda €45,000 (kira-kira RM225,000).

Duarte Cacavelos berkata, Amarilla tidak bercadang menarik balik kenyataannya kerana percaya ia dibuat atas kapasiti peribadi sebagai penyokong pasukan kebangsaan Paraguay dan dilindungi di bawah prinsip kebebasan bersuara.

“Beliau bercakap sebagai seorang penyokong bola sepak, bukannya mewakili kerajaan Paraguay atau menjalankan tugas rasmi sebagai senator,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Mbappe mungkin dipanggil memberi keterangan kepada pihak berkuasa Paraguay sekiranya prosiding diteruskan.

“Kedudukan kami bergantung kepada perkembangan tindakan undang-undang di Perancis. Jika proses itu diteruskan, senator akan mengambil langkah yang sewajarnya,” katanya.

Pertikaian itu turut menarik perhatian pemimpin kedua-dua negara apabila Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menyatakan sokongan terbuka kepada Mbappe susulan apa yang disifatkannya sebagai serangan berunsur perkauman.

Sementara itu, Presiden Paraguay, Santiago Peña menjarakkan diri daripada kenyataan Amarilla dengan menegaskan ia tidak mencerminkan pendirian atau nilai yang dipegang negara itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button