BERITA SEMASA

Coach Nora Zyan akui pernah sertai program motivasi, kini tolak New Age

KUALA LUMPUR – Pernah menyertai program pembangunan diri dan motivasi sekitar 2016 hingga 2017, seorang penasihat transformasi jiwa dan emosi menegaskan beliau kini menolak kepercayaan serta amalan New Age yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.

Nor Azian Abu Kasim, 39, atau lebih dikenali sebagai Coach Nora Zyan, berkata penyertaannya dalam program berkenaan ketika itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan mengembangkan potensi diri, tanpa memahami dengan jelas kaitan program tersebut dengan ajaran New Age.

“Antara perkara yang dipelajari ketika itu termasuk memaafkan, bersyukur, menerima ujian dan melatih diri untuk bersangka baik bagi menjalani kehidupan dengan lebih tenang.

“Saya mengakui pernah menyertai program motivasi tersebut. Saya tidak menafikan fasa itu dalam perjalanan hidup saya.

“Namun, selepas mendapatkan bimbingan dan penjelasan daripada guru agama, saya menolak serta berlepas diri daripada kepercayaan dan amalan New Age yang bercanggah dengan akidah serta syariat Islam,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan hantaran di halaman Masyitah yang mengaitkan dirinya dengan ajaran New Age.

Dalam hantaran sama, beliau memaklumkan turut mengikuti pembelajaran ilmu fardu ain dan meneruskan usaha menambah ilmu sebagai sebahagian daripada proses memperbaiki diri.

Menurutnya, beliau sedia menyemak kandungan setiap modul yang disampaikan, selain menerima teguran dan membuat pembetulan sekiranya terdapat kekeliruan atau kesilapan.

“Sekiranya terdapat kekeliruan atau kesilapan, saya bersedia menerima penjelasan dan membuat pembetulan,” tambahnya.

Mengulas mengenai latar belakang akademiknya, Nora Zyan berkata beliau kini mengikuti pengajian Sarjana Kaunseling di Open University Malaysia (OUM), Petaling Jaya, yang bermula pada September 2025.

Setakat Oktober 2026, beliau telah mengikuti pengajian selama kira-kira satu tahun satu bulan, manakala tempoh standard program berkenaan ialah tujuh semester atau dua tahun empat bulan.

Beliau menganggarkan baki pengajian sekitar satu tahun tiga bulan, tertakluk kepada penyempurnaan semua keperluan akademik, praktikum dan latihan industri.

Selepas menamatkan pengajian serta memenuhi syarat yang ditetapkan, beliau berhasrat memohon pendaftaran dengan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) dan menjalani proses penilaian yang diperlukan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pendaftaran sebagai Kaunselor Berdaftar tertakluk kepada kelulusan LKM.

“Saya berkongsi perkara ini untuk menjelaskan kedudukan pengajian saya pada masa ini. Saya masih belajar dan masih memerlukan bimbingan.

“Kepada mereka yang lebih arif, saya amat mengalu-alukan nasihat, teguran dan tunjuk ajar yang disampaikan secara berhemah serta berhikmah,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan teguran berhubung perkara khusus dalam penyampaiannya untuk diteliti dan diperbetulkan, selain berharap agar terus mendapat bimbingan untuk menyampaikan ilmu yang benar serta bermanfaat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button